Ketua pasukan dan tonggak pertahanan skuad B-19 negara, Syaiful Alias, menyuarakan kesediaannya untuk mendukung cabaran negara dalam saingan kelayakan Kejohanan AFC B-19, bermula Selasa depan.

Bagi pemain Piala Presiden Kelantan itu, moral dalam pasukan kini di tahap terbaik selepas kejayaan muncul naib juara Kejohanan AFF B-18, bulan lalu.

Syaiful juga berasa lebih yakin untuk saingan kelayakan AFC kerana pasukan kendalian Bojan Hodak itu berpeluang menjalani persiapan lebih lama.

"Persiapan kali ini agak panjang. Kami mula berlatih dari 5 Oktober hingga esok. Banyak boleh dilakukan oleh jurulatih kerana tempoh latihan yang panjang.

"Insya-Allah, kami boleh buat di sana nanti," katanya.

Turut sedia beraksi dalam saingan kelayakan yang bakal berlangsung di Paju, Korea Selatan, itu adalah pemain sayap, Akhyar Rashid.

Musim ini menyaksikan Akhyar beraksi untuk skuad B-19 dan 22, Piala Presiden dan skuad utama Kedah.

Baginya, beraksi dalam kempen bersama skuad B-19 tidak membebankannya kerana pembabitannya dalam banyak perlawanan akan membantu meningkatkan permainannya.

"Lebih banyak perlawanan, lebih banyak pengalaman saya timba.

"Tidak banyak rombakan dilakukan. Semua pemain memberi 100 peratus dalam sesi latihan dan saya harap ia berterusan," ujar Akhyar.