Pengendali Portugal, Fernando Santos, menolak untuk memikirkan persembahan Cristiano Ronaldo sewaktu pasukan kendaliannya itu diikat 0-0 oleh Ukraine, awal pagi tadi.

Ronaldo kembali memperkuatkan skuad Portugal sejak Piala Dunia 2018 tatkala juara Eropah itu melayan kunjungan Ukraine di Lisbon bagi saingan kelayakan Euro 2020.

Santos berkata tidak perlu untuk bercakap mengenai prestasi bintang Portugal itu sambil menegaskan fokusnya terarah kepada seluruh pasukan.

"Bukan satu penyelesaian untuk memikirkan tentang Ronaldo, tidak kira dia ada atau tidak," kata Santos.

"Apa yang penting adalah Portugal dan pasukan tidak menang. Pemain tidak berpuas hati.

"Jelas sekali mereka memiliki pengalaman luas memandangkan mereka beraksi bersama kelab besar tetapi mereka tidak berpuas hati. Itu sesuatu yang normal.

"Namun, kini kami harus memikirkan tentang perlawanan seterusnya, sama ada bersama Ronaldo atau tanpa dia. Itu bukan perkara utama.

"Kami perlu berfikir secara kolektif buat pasukan dan tidak fokus kepada soalan sama ada Ronaldo akan beraksi atau tidak."

Portugal akan meneruskan saingan kelayakan Kumpulan B apabila melayan kunjungan Serbia, Isnin ini.