Pertembungan satu lawan satu bagi merebut jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di antara Datuk Hamidin Mohd Amin dan Tan Sri Annuar Musa mendapat reaksi positif ahli gabungan kecuali Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) yang mahu Annuar menarik diri.

Kehangatan pemilihan presiden FAM yang baru jelas mula dirasai sebaik berakhir tempoh pencalonan Khamis lalu.

Ia menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Hamidin selaku calon pilihan dan Annuar dalam Kongres FAM Ke-54, 14 Julai ini.

Terletak di bahu perwakilan untuk menentukan nasib kedua-dua calon, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) antara yang menyambut baik persaingan itu.

"Kedua-duanya memiliki pengalaman dan ia merupakan satu persaingan yang sihat," kata Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.

"Ia merupakan satu tindakan yang baik dan pertandingan ini akan mendapatkan presiden yang terbaik bagi meningkatkan lagi mutu FAM," kata Naib Presiden SAFA, Joehari Ayub.

Begitupun, nada berbeza disuarakan MUSA apabila mahu pemilihan dan peralihan kepimpinan badan induk itu berjalan lancar tanpa pertandingan.

"Saya berharap Annuar memikirkan semula hasrat beliau untuk bertanding merebut kerusi presiden FAM," kata Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Dalam laporan Nadi Arena semalam, Hamidin dalam reaksinya menegaskan Annuar berhak untuk bertanding bagi merebut kerusi panas presiden FAM tatkala beliau masih mengambil pendekatan kunci mulut berhubung perkara berkenaan.