Perpindahan Cristiano Ronaldo ke Juventus tahun lalu membuatkan semua orang gembira, kata pemain tengah Real Madrid dan bekas rakan sepasukan, Toni Kroos.

Madrid kehilangan penjaring utama sepanjang zaman mereka itu kepada Juve hampir 12 bulan lalu dalam perjanjian yang menelan kos lebih €100 juta (RM470.7j) selain jaguh LaLiga itu mengalami kempen yang sukar dalam musim pertama tanpa kelibatnya.

Gergasi Sepanyol itu menamatkan saingan di tangga ketiga selain tersingkir dalam Copa del Rey dan Liga Juara-Juara (UCL) berikutan gagal menampung kehilangan Ronaldo tetapi Kroos memahami sebab pemenang lima anugerah Ballon d'Or itu dilepaskan.

"Adalah langkah yang aneh apabila anda melepaskan pemain seperti Cristiano Ronaldo yang telah membantu kami memenangi banyak perlawanan hasil golnya," katanya kepada Bild.

"Namun, perpindahannya membuatkan semua orang gembira. Dia mahukan pengalaman baru dan Real Madrid mengaut keuntungan besar."

Kroos juga dijangka meninggalkan Santiago Bernabeu tahun lalu dengan pengurus Manchester City, Pep Guardiola, dikhabarkan telah menyatakan minatnya.

Tetapi pemain Jerman itu, yang akan memasuki musim keenamnya sebagai pemain Madrid, menegaskan tidak pernah didekati juara Inggeris tersebut.

"(Berita seperti itu) telah dilaporkan beberapa kali pada masa lalu," katanya. "Tetapi saya tidak pernah menerima tawaran daripada Manchester City, tidak pernah sama sekali. Saya tidak dapat melenyapkan khabar angin ini."

Kroos turut mengulangi cadangan akan bersara pada usia 33 tahun sebaik perjanjian empat tahun yang dimeterai Mei lalu berakhir.

"Saya sedar ketika menandatangani kontrak itu," katanya. "33 akan menjadi usia yang sesuai untuk menggantung but. Pada masa itu, saya berpeluang untuk memilih sekiranya ingin menceburi sesuatu yang berbeza."