Penjaga gol Juventus, Mattia Perin, perlu menunggu lebih lama untuk ke Benfica berikutan juara Liga Portugal itu menunda perpindahannya selepas ujian kesihatan, awal pagi tadi.

Perin, 26, sepatutnya menyertai Benfica dengan yuran €15 juta (RM69.4 juta) selepas kepulangan Gianluigi Buffon ke Turin mengakibatkan dia diletakkan sebagai pilihan ketiga di belakang penjaga gol veteran itu manakala Wojciech Szczesny pula sebagai pilihan utama.

Bagaimanapun, penjaga gawang itu menjalani pembedahan bahu April lalu dan kelewatan pemulihannya menyaksikan perpindahannya ke Benfica terpaksa ditangguhkan.

"Benfica mengumumkan selepas ujian perubatan yang dijalankan hari ini, telah menyimpulkan bahawa penjaga gol, Mattia Perin, perlu menjalani proses pemulihan yang lebih panjang daripada apa yang diharapkan, sekitar empat bulan.

"Sehubungan itu, terdapat persetujuan di antara kedua-dua kelab dan wakil pemain itu supaya tempoh pemulihannya berjalan di Juventus.

"Proses perpindahannya hanya akan diselesaikan selepas tempoh itu," kata Benfica dalam satu kenyataan

Perin, yang menyertai Juventus daripada Genoa tahun lalu, melakukan sembilan penampilan sepanjang musim 2018-19.