Philippe Coutinho hanya akan mempertimbangkan untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris dan beraksi buat Liverpool semula, membuatkan kemungkinan perpindahannya ke Manchester United dilihat mustahil, kata ejen pemain itu, Kia Joorabchian.

Coutinho berhijrah ke Barcelona dari Anfield pada Januari tahun lalu menerusi perpindahan yang mencecah jumlah EUR160 juta (RM741 juta).

Dia dilihat sebagai pemain yang sesuai, menampilkan persembahan meyakinkan dalam beberapa bulan pertama di Camp Nou apabila menamatkan musim 2017-18 dengan lapan gol hasil daripada 18 penampilan liga.

Namun, prestasinya merudum musim lalu selepas hanya mencatat lima jaringan daripada 22 penampilan liga.

Pemain Brazil itu dikaitkan dengan perpindahan ke United sambil Barca dilaporkan mahu menjualnya bagi menambah dana dalam usaha membawa semula Neymar ke Sepanyol, namun Joorabchian menolak perpindahan itu.

"United adalah kelab hebat, saya mempunyai pemain di sana dan saya menghormati mereka. Namun, segalanya tampak mustahil untuk Coutinho ke sana," katanya.

"Saya lihat sangat sukar buat Coutinho untuk beraksi dengan mana-mana seteru Liverpool kerana dia mempunyai memori indah ketika di Anfield. Tempohnya di sana sangat hebat.

"Seperti pemain besar yang lain, anda mahukan pengalaman berbeza dalam karier apabila sampai ke satu tahap kerana ia sangat singkat, namun penghijrahan Coutinho daripada Liverpool tidak mengubah perasaannya terhadap kelab itu.

"Saya tahu dia turut meraikan kejayaan yang diraih The Reds. Lucas Leiva juga begitu. Ramai pemain yang meninggalkan Liverpool tetapi kekal sebagai penyokong disebabkan peminat dan keghairahan yang mereka miliki.

"Jadi, agak sukar untuknya menyertai seteru lain. Setiap kali kami berbincang, dia mendapati sukar untuk beraksi bersama kelab lain di England," tambahnya.

Coutinho turut dikaitkan sebagai sasaran Liverpool walaupun Joorabchian tidak fikir pemain itu akan kembali ke Anfield.

"Liverpool kini sudah menjadi sebuah pasukan yang hebat," katanya.

"Pengurus mempunyai keseimbangan yang bagus dan mungkin mereka muncul sebagai salah sebuah kelab yang diuruskan dengan baik di England.

"Jadi, dengan apa yang mereka sudah miliki, mungkin perlu fikirkan semula jika ingin membawa Coutinho pulang dan mengkaji ruang yang boleh diisi seseorang sepertinya.

"Saya fikir ia akan jadi sesuatu yang sukar kerana kebanyakannya tidak mudah untuk disempurnakan.

"Jelas sekali, jika dia kembali ke Liga Perdana Inggeris, ia adalah Liverpool tetapi ketika ini, saya fikir ia sukar."