Perlis mungkin ucap selamat tinggal

Oleh Staff Writer 18 Mei 2018 23323
Perlis mungkin ucap selamat tinggal
Perlis mungkin hilang daripada radar liga bola sepak tempatan jika Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) gagal mengatasi kemelut kewangan yang menyaksikan pemain serta pegawainya tidak menerima bayaran gaji sejak Februari lalu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed, menjelaskan PFA telah kehilangan presiden dan setiausaha agung buat masa ini.

Shaharuddin Ismail selaku presiden PFA telah meletakkan jawatan bersama Nor Shahril Bakar selaku setiausaha agung. 

Situasi itu meletakkan sumber kewangan PFA semakin meruncing dan menurut Firdaus, jika Perlis gagal beraksi dalam beberapa perlawanan Piala FAM, penyertaan mereka boleh digugurkan seperti mana nasib yang menimpa Kuantan FA.

"Walaupun ia berstatus sebagai ahli gabungan (FAM), kami harus menjunjung perlembagaan kerana pihak FAM sendiri cuba untuk membantu Perlis.

"Apabila berlaku situasi begini, kami harus membawanya kepada mesyuarat JKPT dan exco untuk mendapatkan pendapat," kata Firdaus.

Lebih memburukkan keadaan, Firdaus mendedahkan kemungkinan terdapat beberapa pasukan kini dalam perancangan untuk menarik diri ekoran perubahan kerajaan di peringkat persekutuan.

Tidak mahu mendedahkan pasukan terbabit, Firdaus sedang memantau perkembangan itu tetapi berharap ia tidak menjejaskan perjalanan Piala FAM.

"Pasukan-pasukan yang gagal hadir akan kami susuli dengan kajian. Mungkin tiga mata akan diberikan kepada lawan mereka.

"Kami tidak boleh memberikan hukuman sama seperti Kuantan FA kerana situasi kali ini berlaku dalam tempoh pusingan kedua, jadi ia melibatkan pelbagai kemungkinan," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen