Diego Costa berang dengan tindakan seorang wartawan yang menyoal mengapa dia mencetuskan provokasi terhadap pemain Iran ketika Sepanyol menang dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia, awal pagi tadi.

Costa melakar gol ketiga dalam temasya Russia 2018 menerusi jaringan tunggal di Kazan selepas usaha Ramin Rezaeian untuk mengeluarkan bola terkena kaki penyerang berkenaan.

Sepanyol bergelut untuk merobohkan tembok kebal terancang yang dillhamkan Carlos Queiroz, namun mereka mereka tetap berjaya menyamai kedudukan mata Portugal di puncak Kumpulan B.

Selepas diajukan soalan itu dalam sidang akhbar, Costa naik berang dan anggota kelab Atletico Madrid itu menempelak: "Perlawanan apa yang kamu tonton?

"Sepanjang separuh masa pertama, mereka melancarkan provokasi terhadap kami.

"Kami dikasari sepanjang masa. Perhatikan permainan dengan betul, jangan hanya mengatakan perkara mengenai pasukan kebangsaan anda sahaja."

Kemenangan ke atas Iran meletakkan Costa satu gol di belakang bintang Portugal, Cristiano Ronaldo, dalam pemburuan Anugerah Kasut Emas, namun Costa tidak berminat untuk memberi tumpuan kepada anugerah individu.

"Saya fikir perkara paling penting adalah kemenangan pasukan," kata Costa. "Saya gembira menjaringkan gol, memang benar bahawa ia adalah tuah.

"Ia adalah satu permainan yang sukar, dia (Ronaldo) bermain dengan baik, saya harap dia dapat meneruskannya dan saya juga melakukannya."