Skuad bolasepak wanita negara pulang dari Bangkok, Thailand tanpa sebarang kemenangan dalam tiga aksi persahabatan, namun jurulatih, Jacob Joseph, melihat perubahan positif dalam kalangan pemain muda yang semakin pantas memahami corak taktikal yang diterapkannya.

Tewas 3-0 dan 3-1 kepada Thailand, skuad kendalian Jacob itu menutup kempen siri persahabatan dengan kekalahan tipis 1-0 kepada Chonburi FC, semalam.

Berdasarkan jurang kekalahan, Jacob berpuas hati dengan jurang kekuatan skuad negara dengan kuasa besar Asia Tenggara itu mampu dikecilkan.

Memandangkan baru sebulan sahaja dia melatih skuad ini, beliau gembira sudah banyak perkembangan menarik berlaku dalam pasukan.

"Saya nampak terdapat peningkatan dalam mutu permainan. Kekurangan kami adalah teknik dan kami perlu memperbaiki kelemahan itu untuk aksi akan datang," katanya.

"Kami memerlukan kemenangan tetapi ia merupakan tugas yang sukar. Kami tetap akan memberikan yang terbaik," kata penyerang negara, Sihaya Ajad.

Tiga perlawanan itu merupakan siri persiapan menghadapi Kejohanan AFF Wanita 2018 di Palembang, Indonesia dari 30 Jun hingga 13 Julai depan.

Dalam masa sama, Jacob mengumumkan bakal menggugurkan dua lagi pemain bagi melengkapkan senarai 23 pemain selepas aksi persahabatan dengan Singapura, 21 Jun ini.

"Saya akan gugurkan dua lagi pemain dan aksi menentang Singapura akan menjadi medan penilaian terakhir saya," kata Jacob.