Presiden Real Madrid, Florentino Perez, berharap Zinedine Zidane dapat memujuk Kylian Mbappe untuk menyertai kelab itu dan tidak menolak akan menandatangani pemain muda sensasi Perancis itu, termasuk rakan sepasukannya di Paris Saint-Germain (PSG), Neymar.

Madrid dijangka melakukan rombakan besar-besaran pada penghujung musim ini berikutan kepulangan pengurus, Zidane, yang dilantik semalam untuk menggantikan Santiago Solari susulan juara tiga kali berturut-turut itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL), minggu lalu.

Gergasi LaLiga berkenaan bergelut sepanjang musim ini selepas Cristiano Ronaldo angkat kaki untuk menyertai juara Serie A, Juventus, manakala Madrid menduduki tangga ketiga LaLiga dan 12 mata di belakang pendahulu, Barcelona.

Madrid telah dikaitkan dengan bintang PSG, Mbappe, dan bekas penggempur Barca, Neymar, sejak sekian lama dan spekulasi mengenai pasangan itu meningkat selepas Zidane kembali ke Santiago Bernabeu.

Ketika sidang media memperkenalkan Zidane, Perez berseloroh bahawa pengurus dari Perancis itu boleh memainkan peranan untuk memikat Mbappe datang ke ibu kota Sepanyol itu.

"Zidane adalah warga Perancis, jadi dia mungkin boleh melakukan sesuatu terhadap Mbappe," kata Perez kepada wartawan.

Ketika terus ditekan mengenai Mbappe, Perez menjawab: "Ketika ini, kebimbangan kami adalah untuk mengakhiri musim dengan baik dan mula melakukan persiapan untuk musim depan."

Neymar terus dikaitkan dengan Madrid meskipun meninggalkan Barca untuk ke PSG dalam perpindahan termahal bernilai €222 juta (RM1 bilion) pada 2017.

Ditanya siapa yang dia pilih di antara Neymar dan Mbappe, Perez berkata: "Kedua-duanya."