MANCHESTER UNITED 1 WOLVES 0

Ole Gunnar Solskjaer mengakui keputusannya untuk memperkenalkan Marcus Rashford sebagai pemain gantian ketika menentang Wolves telah memakan diri apabila bintang Manchester United berkenaan terpaksa meninggalkan padang dengan terhincut-hincut, sekali gus menjadikan kelibatnya menjelang pertembungan dengan Liverpool, Ahad ini dalam keraguan.


Rashford dimasukkan tiga minit sebelum Juan Mata menjaringkan gol tunggal kemenangan dalam aksi Piala FA itu di Old Trafford awal pagi tadi.

Begitupun, khidmat penyerang England itu tidak bertahan lama susulan terjahan Matt Doherty dan dia kelihatan mengalami masalah belakang sebelum dikeluarkan ketika permainan berbaki 10 minit.

Solskjaer, yang tidak dapat menawarkan perkembangan terkini mengenai aktiviti memancing pemain, mengesahkan anak buahnya itu dilanda masalah belakang dan pengurus berbangsa Norway berkenaan berharap pertukaran berisiko yang dilakukannya itu tidak menjejaskan United untuk berkunjung ke Anfield.

"Ya, ia memakan diri," katanya kepada BT Sport. "Tetapi adakalanya anda terpaksa membuat keputusan seperti itu.

"Dia kelihatan mengalami kecederaan hingga tidak dapat berlari. Kami akan menilainya dalam tempoh beberapa hari lagi dan berharap dia akan pulih untuk Ahad ini, saya tidak tahu.

"Dia agak bergelut dengan beberapa hentakan di belakang badannya akhir-akhir ini dan sekali lagi dia mendapatnya dan ia tidak membantu."

Wira kemenangan United, Mata, berkata mengenai rakan sepasukannya itu : "Semoga keadaannya tidak terlalu buruk dan dia boleh bersedia (untuk menghadapi Liverpool).

"Dia dalam prestasi terbaik, menjaringkan gol dalam setiap perlawanan. Sayang sekali dia tidak dapat bertahan lama di padang tetapi diharapkan dia tidak ada apa-apa."

Tambah pemain itu mengenai kemenangan berkenaan: "(Wolves) merupakan lawan yang sukar, mereka beraksi dengan cara tertentu dan mereka melakukannya dengan sangat baik.

"Tetapi hari ini, ia satu keputusan yang bagus buat kami. Kami sudah mengharungi beberapa hari yang baik dan ketika ini kami akan menghadapi perlawanan yang penting, jadi kami berharap dapat meneruskannya."



Editor: Shaiful Shamsudin