Perjudian ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, yang menggunakan majoriti pemain bawah 25 tahun ternyata berbaloi, demikian pandangan penganalisis bola sepak negara, Asmawi Bakiri.

Asmawi mengakui terkejut dengan aksi bertenaga yang dipamerkan skuad kebangsaan walaupun tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut, lewat malam tadi

Turun tanpa ramai pemain utama, khususnya daripada Johor Darul Ta'zim (JDT), Harimau Malaya mempamerkan tentangan cukup bermakna terhadap Lubnan di Stadium Camille Chamoun Sports City sebelum tewas dengan jaringan masa kecederaan oleh Hilal El-Helwe.

Bukan sahaja mengekang barisan serangan lawan, namun anak buah Cheng Hoe mengimbangi rentak Lubnan dengan melancarkan banyak serangan berbahaya.

Menurut Asmawi, sudah lama peminat tanah air dahagakan persembahan sedemikian dipamerkan pemain negara di pentas antarabangsa, tambahan bermain di tempat lawan.

"Permainan yang ditampilkan Harimau Malaya menunjukkan bahawa mereka menjiwai perlawanan tersebut," katanya.

Selain itu, Asmawi mahu pemain muda yang beraksi cemerlang ketika berdepan Lubnan terus diberi peluang ketika berdepan Bhutan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kelas 'A', Ahad ini.

Jika diberi lebih banyak ruang, dia optimis barisan pemain sedia ada mampu menyerlahkan kebangkitan untuk tahun 2018.

"Kesempatan ini harus diambil untuk perlawanan seterusnya bagi memastikan kita melakar kemenangan," katanya lagi.