PERANCIS 1 PERU 0

Jaringan tunggal Kylian Mbappe membolehkan Perancis melayakkan diri ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 selepas menewaskan Peru 1-0 dalam aksi Kumpulan C di Ekaterinburg Arena, sebentar tadi.


Selepas mengatasi Australia 2-1 dalam aksi sebelum ini, Perancis menentang Peru dengan misi meraih tiga mata untuk ke pusingan kedua lebih awal walaupun masih memiliki baki satu perlawanan bertemu Denmark.

Antoine Griezmann hampir meletakkan Perancis di depan seawal minit kesembilan apabila penyerang Atletico Madrid itu melepasi perangkap ofsaid tetapi rembatan kaki kanannya sedikit tersasar ke bahagian tepi gawang.

Tandukan Raphael Varane tiga minit kemudian turut hampir memberikan pendahuluan buat Les Bleus, namun usaha bek Real Madrid itu sekadar tersasar.

Walaupun Perancis tampak lebih menguasai perlawanan, Peru hampir mengejutkan juara edisi 1998 itu pada minit ke-30 apabila penyerang utama, Paolo Guerrero, bijak mengutip hantaran Edison Flores tetapi percubaan kaki kirinya dinafikan oleh kaki Hugo Lloris.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba empat minit kemudian setelah pemain berusia 19 tahun, Mbappe, mudah menolak bola masuk ke gawang lawan selepas percubaan awal Olivier Giroud terkena kaki Alberto Rodriguez, menjadikan kedudukan 1-0 dan membenarkan penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu muncul pemain termuda Perancis yang menjaringkan gol dalam Piala Dunia.

Memasuki babak kedua, skuad bimbingan Ricardo Gareca itu berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas empat minit bersambung menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Pedro Aquino tetapi bola terkena palang gol sebelum keluar.

Pemain gantian, Ousmane Dembele, mampu meletakkan namanya dalam senarai penjaring buat Les Bleus jika percubaan kaki kirinya pada minit ke-80 menepati sasaran.

Usaha Peru dalam mencari jaringan penyamaan juga terus buntu walaupun sepakan percuma Guerrero tepat ke gawang Perancis kerana sekali lagi, Lloris menjadi penghalang.

Tiada sebarang penambahan jaringan di Ekaterinburg Arena sehingga pengadil perlawanan, Mohammed Abdulla, meniupkan wisel menamat, sekali gus membolehkan Perancis muncul pasukan ketiga ke pusingan kedua menyertai Russia dan Uruguay yang sudah mengesahkan tiket lebih awal.

Buat Peru, mereka terpaksa menerima hakikat tersingkir awal walaupun mempunyai baki satu lagi perlawanan setelah mengharungi kekalahan kedua.