Berat tetapi bukan mustahil. The Bos Gaurus juga akan memerlukan segala keajaiban untuk meruntuhkan tembok kebal pasukan Harimau Selatan itu.

Demikian pandangan pengendali Perak, Mehmed Durakovic, mengenai pertemuan anak buahnya dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2019, sekali gus merebut Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam esok.

Bagi Durakovic, pertemuan di antara dua pasukan itu memang dinanti-nantikan oleh pemain dan penyokong kedua-dua pihak.

"Selepas berminggu-minggu membuat persiapan, kini tiba masanya pemain melaksanakan segala perancangan dan taktikal disiplin yang diajar jurulatih semasa latihan," katanya.

Di atas kertas, pasukan tuan rumah itu memiliki segala ramuan untuk meneruskan penguasaan dalam kancah domestik.

"JDT ada semua, pemain tempatan dan import serta pengurusan terbaik.

"Mereka juga punyai rekod cemerlang di tempat sendiri.

"Jadi, Perak akan memerlukan segala keajaiban untuk memenangi perlawanan ini. Namun, ia bukan mustahil. Dalam bola-sepak apa saja boleh berlaku," tambah jurulatih dari Australia itu.

Sehubungan itu, Durakovic berharap anak buahnya mempamerkan perwatakan mantap yang telah menjadikan meteka naib juara Liga Super dan merangkul Piala Malaysia tahun lalu.

"Ia pertemuan di antara dua pasukan terbaik dalam Liga Malaysia. Sudah tentu ia akan menjadi perhatian dan tumpuan seluruh negara.

"Oleh yang demikian, pemain Perak perlu tunjukkan persembahan terbaik mereka sebagai justifikasi mereka adalah antara pasukan terbaik di Malaysia, " kata Durakovic.

Bagi menghadapi pertarungan malam esok, Perak malangnya tidak akan mendapat khidmat penyerang utama, Gilmar Jose Da Silva Filho, yang digantung satu perlawanan kerana mengutip kad merah dalam perlawanan terakhir mereka.

Bagaimanapun, Durakovic sudah bersedia dengan perancangan kontingensi kerana sudah tahu dari awal mengenai kedudukan pemain Brazil itu.