Diego Simeone menggesa penyokong Atletico Madrid supaya menamatkan persengketaan mereka dengan Antoine Griezmann bagi mengelakkan kehilangannya pada akhir musim ini.

Griezmann diejek penyokong kerana melengah-lengahkan permainan dalam kemenangan 1-0 Atleti ke atas Valencia pada 4 Februari lalu sehingga mencetuskan reaksi berang bintang Perancis berkenaan.

Penggempur itu terus dikaitkan dengan perpindahan dengan Barcelona dan Manchester United antara kelab yang sedia memberikan tawaran.

Pengurus Atleti itu menyatakan peminat harus melakukan yang terbaik untuk meyakinkan Griezmann agar kekal di Wanda Metropolitano dan bukannya menyebabkan keretakan hubungan mereka.

"Saya mengenalinya kerana saya bersamanya setiap hari," kata Simeone dalam sidang akhbar. "Dia seorang pemain yang hebat, sentiasa bersemangat, bahagia, rendah hati dengan hati yang besar.

"Jika saya seorang peminat Atletico, saya akan melakukan segala yang mungkin untuk tidak kehilangan Griezmann," katanya.

Atleti, yang telah memenangi empat perlawanan berturut-turut sejak kekalahan 3-1 kepada Sevilla dalam Copa del Rey, akan menghadapi Athletic Bilbao dalam saingan LaLiga hari ini.

Aritz Aduriz dan bekas pemain tengah Atleti, Raul Garcia, akan menjalani penggantungan dan secara tidak langsung skuad kendalian Jose Angel Ziganda itu akan turun tanpa dua senjata utama mereka.

Bagaimanapun, Simeone menjangka pelawat akan lebih berbahaya jika Inaki Williams dimainkan di bahagian serangan.

"Mereka akan kalah dalam perebutan bola tinggi tetapi mempunyai kepantasan kerana mereka akan menurunkan Williams di bahagian serangan, dia pemain yang berbahaya," katanya lagi.

"Padang kami besar dan dengan kecenderungan kami untuk terus memberi tekanan, kami meninggalkan ruang di belakang di mana Williams boleh menimbulkan ancaman menerusi kelincahannya."