BENFICA 0 MANCHESTER UNITED 1

Jose Mourinho mendedahkan dia telah mengambil kesempatan ke atas penjaga gol muda Benfica, Mile Svilar, dan menyasarkannya dalam situasi bola mati apabila kesilapan pemain berusia 18 tahun itu pada separuh masa kedua memberi kemenangan 1-0 kepada Manchester United, awal pagi tadi.


Pemain kelahiran Belgium itu mencatat sejarah menjadi penjaga gol termuda Liga Juara-Juara (UCL) pada usia 18 tahun 52 hari untuk mengatasi rekod legenda Real Madrid dan Sepanyol, Iker Casillas.

Ia terbukti mimpi ngeri buat Svilar yang dilihat tidak selesa dalam situasi bola mati sehingga menghadiahkan kemenangan United dalam Kumpulan B.

Sepakan lencong Marcus Rashford dari jarak 40 ela ketika perlawanan berbaki 26 minit mendorong Svilar untuk berundur tetapi bola sudah pun melepasi garisan gol meskipun bola berkenaan dalam genggamannya.

Lantas, ia bukan tugas sukar untuk pengadil membuat keputusan dan nyata sekali, perancangan Mourinho berhasil.

"Saya sedar dia seorang pemain yang bagus dan saya sudah berpesan kepada pemain saya," kata Mourinho kepada BT Sport.

"Tetapi, kami mempunyai statistik dan maklumat mengenai sepakan bola matinya, jadi kami perlu membuatkan dia tidak berasa selesa.

"Dalam sepakan penjuru, kami cuba mengepungnya dan membuatkan dia dalam keadaan tertekan. Dalam sepakan percuma, kami sedar dia berdepan risiko besar.

"Hanya penjaga gol handalan berani mengambil risiko seperti itu. Kami bernasib baik."

Satu-satunya perkara yang tidak menggembirakan kem Red Devils adalah kebimbangan mengenai Rashford dan Mourinho mengesahkan pemain England itu mengadu masalah di bahagian lututnya.

"Ia berkenaan dengan lututnya," kata Mourinho. "Saya menyangka ia kekejangan kerana dia banyak berlari, tetapi ia mengenai lututnya. Saya harap ia tidak serius."

Kemenangan itu begitu jelas memihak kepada United apabila Benfica jarang menghadirkan ancaman sepanjang perlawanan.

Mourinho mengulas mengenai pertahanannya dengan berkata, kadang-kala dia berasakan kemantapan bentengnya adalah satu jenayah.

"Kami menguasai permainan," tambahnya. "David de Gea tidak membuat sebarang aksi menyelamat.

"Saya langsung tidak fikir kami akan dibolosi dan cukup ampuh di bahagian pertahanan. Ada masanya saya fikir pertahanan yang ampuh adalah satu jenayah, tetapi itulah caranya untuk mendapatkan keputusan.

"Kami tinggal satu mata sahaja lagi untuk layak dan memerlukan satu kemenangan sahaja lagi dengan dua baki perlawanan adalah di tempat sendiri.

"Kami tahu Benfica tidak akan memberi tekanan sepanjang 90 minit. Tidak seperti pendekatan bertahan yang dilakukan Liverpool terhadap kami, Benfica tidak mampu melakukannya sepanjang perlawanan.

"Tanpa sebarang tekanan, kami sedar gol akan tiba. Jika kami menambah sedikit lagi tekanan dengan kualiti dan ketajaman, kami mampu menang lebih besar lagi."