Penjaga gol veteran Mesir, Essam El Hadary, telah banyak menimba pengalaman menarik sepanjang kariernya.

Tonggak berusia 45 tahun itu menjadi pemain tertua dalam sejarah Piala Duniatetapi pengendali pasukan, Hector Cuper, memilih untuk menurunkan Mohamed El-Shenawy untuk aksi pertama Kumpulan A berdepan Uruguay yang berkesudahan mereka tewas 1-0.

Membuat penampilan sulung pada 1996, El Hadary menempuhi banyak pengalaman mengenai teknologi bola perlawanan -- satu topik perbincangan dalam setiap edisi Piala Dunia dengan Adidas memperkenalkan bola baru bagi saingan di Russia.

Rungutan daripada rata-rata penjaga gol mengenai isu ini tidak pernah asing dan bagi saingan kali ini, Telstar 18 diperkenalkan dan ia merupakan antara krisis yang perlu dihadapi oleh setiap penjaga gol.

"Ya, kami adalah mangsa kepada FIFA dan teknologi yang sentiasa berkembang dalam bola sepak," katanya. "Setiap empat tahun, bola baru akan diperkenalkan.

"Bola ini mungkin dapat diterima oleh rata-rata pemain tetapi bukan penjaga gol. Kadang-kala ia mendatangkan masalah dan penjaga gol menjadi mangsa.

"Setiap kali bola baru diperkenalkan, kami perlu berlatih lebih untuk menyesuaikan diri. Bola baru sentiasa memberikan masalah tetapi penjaga gol yang perlu menghadapinya," ujarnya.

Bagi edisi 2010, Adidas memperkenalkan bola Jabulani di Afrika Selatan. Penjaga gol Itali, Gianluigi Buffon, menggambarkan bola itu "mengerikan" kerana hayunannya di udara menyukarkan penjaga gol membaca pergerakannya.

Dengan bilangan gol menerusi sepakan percuma hampir menyamai bilangan gol yang diledak dalam saingan Brazil 2014, rembatan jarak jauh menghadirkan kesukaran yang digeruni oleh El Hadary.

David de Gea turut menggambarkan bola itu "sangat pelik" sebelum aksi di antara Sepanyol dan Portugal yang berkesudahan 3-3 -- menyaksikan penjaga gol Manchester United itu melakukan kesilapan selepas memberikan gol kedua buat Portugal.

"Saya mengetahui mengenai perbincangan ini. Terdapat banyak kritikan terhadap bola yang digunakan tetapi tiada apa yang boleh mengubahnya," kata kapten dan penjaga gol Russia, Igor Akinfeev.

"Pihak penaja yang membawa bola ini bagi digunakan sebagai bola rasmi kejohanan. Kami perlu menggunakannya sama ada suka ataupun tidak.

"Teknologi sentiasa berkembang. Pemain bola sepak kini mampu menjaringkan gol sejauh 40 meter. Bola adalah bola -- apa yang mampu saya katakan?"