Penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat, menganggap kelibatnya paling relevan untuk diserahkan tanggungjawab bagi memenuhi tuntutan negara dalam usaha memperbaiki ranking untuk berada dalam kelompok 34 pasukan terbaik Asia.

Tempoh aksi seseorang penjaga gol kebiasaannya dipengaruhi oleh ilmu dan kematangan di atas padang dan Khairul Fahmi merujuk kepada nama-nama di pentas antarabangsa seperti Gianluigi Buffon, Iker Casillas, serta Edwin Van Der Sar yang semakin menyerlah walaupun sudah berusia.

Tidak hairan penjaga gol itu semakin yakin menerajui watak penting di gawang negara, apatah lagi Malaysia kini dalam misi penting mahu mengelak play-off kelayakan Piala Dunia.

"Saya rasa dalam Liga Malaysia juga ada contoh penjaga gol berusia yang penuh pengalaman seperti pemain Terengganu, Suffian Abdul Rahman. Jadi, saya ambil mereka sebagai contoh dan melihat bagaimana mereka menjaga diri sehingga ke peringkat tertinggi," katanya.

Membarisi skuad senior negara sejak sedekad lalu, Khairul Fahmi mengakui kehadiran muka baru dan perubahan tampuk kejurulatihan menambahkan lagi kematangannya di dalam permainan.

Khairul Fahmi tidak mahu kehadirannya bersama skuad negara sekadar mencukupkan slot tetapi bertekad muncul antara watak penting mencapai misi negara, bersesuaian dengan kelibatnya yang digelar sebagai ‘orang lama’.

"Kami tahu beberapa pemain Singapura bermain di Malaysia, jadi ia boleh dijadikan kelebihan. Menjelang aksi Piala Airmarine, Rabu nanti, diharapkan keserasian dalam pasukan dapat diterjemahkan di atas padang," tambahnya.