MILAN 3 SPAL 0

Pengurus Milan, Stefano Pioli, berkata kehadiran Zlatan Ibrahimovic menjadi "sangat penting" buat pasukan Serie A itu.


Ibrahimovic kembali ke pangkuan Milan buat kali kedua dan tiba di Rossoneri -- di mana dia memenangi Scudetto pada 2010-11 -- sebaik kontraknya bersama LA Galaxy berakhir.

Bintang berusia 38 tahun itu pantas memberi kesan besar apabila menyumbat gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Cagliari dalam Serie A minggu lalu -- dalam hanya penampilan keduanya.

Ibrahimovic merupakan pemain gantian yang tidak digunakan ketika Milan mudah menundukkan SPAL 3-0 dalam pusingan 16, Coppa Italia awal pagi tadi menjelang kunjungan ke Udinese, Ahad ini.

Sehubungan itu, Pioli memuji penyerang berkenaan di sebalik situasi sukar yang ditempuhi kelab tersebut.

"Menandatangani Ibrahimovic sangat penting," kata pengurus itu kepada wartawan.

"Sudah tentu ia sangat penting atas apa yang dilakukannya dalam latihan setiap hari, atas apa yang dilakukannya di Cagliari dan atas apa yang akan dilakukannya.

"Ibra akan terus memberikan kami kepuasan yang hebat. Dia begitu profesional, dia begitu bersemangat dalam semua perkara yang dilakukannya. Adalah sukar untuk mempercayai bahawa pemain hebat sepertinya juga bekerja keras. Ia penting buat pasukan muda seperti kami.

"Selepas Cagliari, dia berkata mengenai keperluan untuk bekerja keras dan penuh semangat agar kami dapat meraih ganjarannya. Ini merupakan perkara yang paling penting."

Tanpa Scudetto sejak tempoh pertama bekas ketua pasukan Sweden itu, Milan kini di tangga ke-10 Serie A dan 10 mata di belakang Atalanta yang menduduki tempat keempat dan 23 mata dipisahkan dengan pendahulu, Juventus.



Editor: Shaiful Shamsudin