Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, berterima kasih terhadap komitmen yang ditunjukkan skuad kendaliannya ketika melepasi pusingan play-off kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dengan kemenangan agregat 12-2 ke atas Timor Leste.

Harimau Malaya menumbangkan Timor Leste 7-1 dalam perlawanan pertama Jumaat lalu sebelum sekali lagi melakar kemenangan besar 5-1 dalam aksi kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Bagi jurulatih itu, kejayaan melangkah ke pusingan kedua kelayakan itu jelas memberikan pulangan berbaloi terhadap pengorbanan pemainnya yang sanggup berlatih dalam bulan Ramadan dan melupakan sambutan Aidilfitri lebih awal.

"Sasaran utama kami ialah untuk layak ke pusingan seterusnya, iaitu peringkat kumpulan.

"Pengorbanan setiap pemain ternyata berbaloi walaupun mereka sebelum ini terpaksa berlatih pada musim hari raya dan bulan Ramadan.

"Saya berasakan setiap pemain telah melakukan yang terbaik," katanya.