Mats Hummels menyelar pengkritik skuad kebangsaan Jerman sambil menyifatkan mereka menunjukkan rasa tidak hormat dan melayani pasukan umpama sekumpulan amatur.

Skuad bimbingan Joachim Low itu kini di tangga tercorot kumpulannya dalam Liga Negara-Negara selepas kekalahan 0-3 kepada Belanda kelmarin sambil memori penyingkiran mengaibkan di peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 kembali menghantui.

Kekalahan terbaru itu mendorong kritikan hebat peminat dan media tetapi bek tengah, Hummels, berang dengan reaksi terhadap juara dunia empat kali itu di samping percaya Die Mannschaft harus mendapat lebih sokongan untuk mengubah nasib mereka.

“Mereka menghentam segala-galanya, yang pada pendapat saya, menunjukkan rasa tidak hormat,” katanya kepada Sport1.

"Ia tidak langsung menghormati apa yang telah ditunjukkan pemain-pemain. Ia bukanlah seperti kami hidup pada masa silam.

"Kami masih memiliki sebuah pasukan yang bagus. Kami memiliki ramai pemain utama dan sebuah pasukan kebangsaan yang bagus tapi kami dilayan seperti pemain amatur.

“Kami harus menghadapinya dan keadaannya akan sentiasa demikian dalam bola sepak dengan media dan peminat. Kami harus mendepani rasa tidak hormat ini.

“Ia adalah gabungan nasib malang dan kegagalan memanfaatkan peluang dalam serangan tapi tiga gol adalah terlalu banyak.

“Pada pandangan saya, kami tidak bermain perlawanan yang buruk sejak Piala Dunia tapi kami tidak mendapat keputusan yang bagus.

“Kami tidak bermain dengan baik dan tidak mendapat keputusan terpuji dalam Piala Dunia. Perasaan dalam bilik persalinan sedikit berbeza ketika ini,” katanya lagi.

Jerman berdepan tugas mencabar untuk kembali ke landasan kemenangan apabila berkunjung ke Paris untuk berdepan pemenang Piala Dunia, Perancis, esok.