Romelu Lukaku berkata keputusan meninggalkan Manchester United demi menyertai Inter merupakan pilihan terbaiknya selepas penyerang itu meneruskan rentak penyudah berbisanya dengan gol berganda dalam kempen Coppa Italia.

Lukaku meledak dua gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Cagliari awal pagi tadi untuk melebarkan jaringannya musim ini kepada 18 gol dalam semua kejohanan sejak tiba dengan rekod pembelian termahal kelab itu awal kempen ini.

Pemain antarabangsa Belgium itu membuka tirai jaringan perlawanan selepas hanya 21 saat, disusuli gol menerusi tandukan untuk jaringan ketiga dalam babak kedua pertembungan di San Siro berkenaan untuk Nerazzurri mara ke peringkat suku akhir.

"Saya harus mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan saya, jurulatih, kakitangan di belakang tabir dan peminat. Semua pihak telah membantu saya dari hari ke hari," kata Lukaku, yang telah menjaringkan enam gol dalam empat perlawanan terakhirnya, kepada Rai.

"Inter adalah pilihan terbaik saya. Saya boleh berkembang di sini dan boleh menawarkan sumbangan. Peranan saya adalah untuk membantu pasukan dalam apa jua cara dan saya sedar mengenai hasrat peminat.

"Sudah tentu jaringan merupakan objektifnya tetapi saya tidak hanya memikirkan soal diri sendiri, malah untuk pasukan. Saya berada di sini demi mencapai matlamat ini dan saya berharap untuk memenangi sesuatu. Namun, sekarang saya hanya memberi tumpuan kepada Lecce."

Pengurus Inter, Antonio Conte, yang memburu Lukaku ketika masih mengemudi Chelsea lagi sebelum akhirnya berjaya mendapatkan pemain idamannya itu musim ini, berkata: "Anda tahu saya tidak suka bercakap terlalu banyak tentang individu. Romelu membuktikan nilainya dan dia masih boleh bertambah baik. "

Mengenai prestasi pasukannya selepas seri 1-1 dengan Atalanta, yang menyaksikan Inter tercicir dua mata di belakang juara menanti Serie A, Juventus, bagi perebutan Scudetto, Conte menambah: "Saya sangat gembira, ia adalah tindak balas yang hebat daripada pemain yang jarang beraksi kebelakangan ini, termasuk mereka yang baru kembali daripada kecederaan.

"Saya gembira kerana (Nicolo) Barella yang baru pulih daripada kecederaan tampil dalam kesebelasan utama kami hari ini, begitu juga dengan (Alexis) Sanchez. Dia adalah pemain penting bagi kami dan perlahan-lahan dia akan kembali kepada prestasi terbaiknya.

"Saya juga gembira dengan Borja Valero, yang sekali lagi membuktikan kemampuannya hari ini, serta (Valentino) Lazaro, (Federico) Dimarco dan (Andrea) Ranocchia, yang tidak mempunyai banyak peluang setakat ini tetapi mereka semua bermain dengan baik.

"Wujud keharmonian sejati dalam kalangan kumpulan ini, mereka adalah sekumpulan pemain yang ingin beraksi dengan baik. Saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka.

"Kami telah melengkapkan separuh musim yang penting ini dengan mengutip 46 mata. Walaupun berdepan kesukaran, mereka telah meletakkan kami dalam kedudukan yang kukuh.

"Pusingan kedua kempen tidak akan menjadi mudah tetapi kami telah memulakan perjalanan kami dan kami mahu terus berkembang, mengekalkan kesabaran untuk bersama-sama mengecapi kejayaan."


Editor: Shaiful Shamsudin