Pemain muda negara takut di atas padang?

Itu persoalan yang ditimbulkan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter De Roo, yang berpuas hati dengan pencapaian naib juara Kejohanan AFF B-18 itu, tetapi tidak dengan corak permainan yang ditonjolkan skuad kendalian jurulatih B-18 negara, Brad Maloney, itu.

Pencapaian skuad itu di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, mendedahkan masih ada perkara yang perlu diperhalusi pengendalinya.

Paling ketara ialah berkaitan DNA baru bola sepak Malaysia yang memilih formasi 4-3-3, namun Maloney tampil menggunakan pendekatan lama, iaitu 5-4-1 atau 5-3-2-1, yang dianggap bukan cara bola sepak moden.

De Roo mengakui pilihan formasi bekas tonggak tengah Australia itu berbeza dengan DNA yang mahu diperkenalkan sehingga gagal menampakkan penguasaan skuad negara di atas padang.

"Skuad negara terlalu tertumpu di kawasan sendiri sehingga tidak begitu agresif dalam memberi tekanan kepada pihak lawan.

"Mereka seharusnya lebih banyak membuat hantaran rendah berbanding hantaran jauh dengan cuba mendominasi dan mengawal tempo permainan.

"Itulah yang mahu diterapkan dalam bola sepak Malaysia," ujar De Roo.

Bermain seolah-olah takut dengan pihak lawan adalah ungkapan paling tepat.

Pengarah teknikal dari Belanda berkenaan menegaskan perlu ada perubahan daripada segi corak permainan, apatah lagi falsafah bola sepak yang diperkenalkan perlu segera diterapkan untuk semua kategori peringkat umur.

"Hasil daripada Kejohanan AFF B-18 memberangsangkan tetapi kami perlu mengambil kira aspek permainan juga.

"Pada akhirnya, ia akan membawa kepada keputusan yang lebih tekal dalam usaha membentuk pemain yang lebih baik di peringkat profesional," katanya lagi.