Inter Milan sudah mengemukakan tawaran kepada Tottenham Hotspur untuk mendapatkan pemain tengah, Christian Eriksen, kata pengarah kesukanan kelab Itali itu, Piero Ausilio.

Eriksen sudah memasuki tempoh enam bulan terakhir kontraknya bersama Spurs dan kerap menjadi sasaran spekulasi perpindahan, dengan Inter dilihat sebagai pasukan pilihan untuk mendapatkan pemain itu.

Inter pula tampak tidak berselindung untuk mendapatkan pemain berkenaan dengan Ketua Pegawai Operasi, Giuseppe Marotta, dilihat mengadakan perbincangan dengan ejen Eriksen manakala Ausilio sebelum ini mendedahkan keyakinannya bahawa perjanjian itu akan dimeterai kedua-dua pihak.

Taktik berkenaan tidak digemari pengurus Spurs, Jose Mourinho, yang menuduh bekas pasukannya itu sebagai tidak hormat -- walaupun Inter menegaskan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan sambil mengingatkan Spurs bahawa mereka berhak sepenuhnya untuk membuka perbincangan dengan pemain tengah itu.

Usaha itu kian menghampiri kejayaan dengan Ausilio mengesahkan satu bidaan telah dikemukakan buat Eriksen.

Bercakap kepada Sky Sport Italia, Ausilio berkata: "Kami sdah mengemukakan bidaan rasmi kepada Tottenham untuk menandatangani Christian Eriksen dan kami sedang menantikannya.

"Banyak kelab berminat untuk mendapatkannya tetapi kami yakin untuk mendapatkan pemain terbaik seperti Eriksen."

Ausilio turut mendedahkan kelab itu sudah mencapai kesepakatan dengan Chelsea untuk mengikat Viktor Moses selepas pengurus, Frank Lampard, mengesahkan bahawa tempoh pinjaman pemain kebangsaan Nigeria itu di Fenerbahce sudah tamat dan akan menyertai pasukan lain.

Seorang lagi penyerang Chelsea, Olivier Giroud, juga berpotensi untuk bergandingan dengan Moses di San Siro.

"Kami sudah mencapai persetujuan dengan Chelsea untuk mendapatkan Viktor Moses.

"Giroud juga mungkin menyertai kami seandainya kami dapat menjual seorang penyerang dalam jendela perpindahan kali ini," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa