Lucien Favre berasakan faktor pihak lawan bakal menjadi penentu kepada aksi getir hujung minggu ini apabila Borussia Dortmund dan Bayern Munich masing-masing memerlukan kemenangan untuk merebut kejuaraan Bundesliga.

Aksi tidak menentu Bayern dan Dortmund menjadi daya penarik kepada perlawanan terakhir musim ini dengan barisan kendalian Niko Kovac itu dianggap sebagai pilihan, esok.

Bayern mempunyai kelebihan dua mata berbanding pencabar terdekat mereka itu apabila menyasarkan kejuaraan Bundesliga ketujuh berturut-turut -- gelaran itu sepatutnya boleh disahkan kalau bukan kerana mereka seri 0-0 dengan RB Leipzig, hujung minggu lalu.

Pasukan di tempat ketiga, Leipzig, sudah pasti akan beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan tetapi faktor dua pasukan yang masih bersaing sengit untuk merebut tempat keempat, iaitu Borussia Monchengladbach dan Eintracht Frankfurt, adalah musuh terakhir yang perlu diatasi Dortmund dan Bayern.

"Perlumbaan gelaran masih lagi terbuka sehingga penghujung musim ini. Banyak pasukan yang masih berjuang untuk merebut tiket UCL dan Liga Europa," kata Favre dalam sidang berita sebelum menghadapi Gladbach, kelab yang dilatihnya dari 2011 sehingga 2015.

"Selain itu, ada kelab yang berjuang untuk mengesahkan gelaran. Ia satu situasi yang sangat menarik musim ini dan ia juga akan menjadi pertembungan menarik di Gladbach."

Ironinya, Kovac akan menghadapi bekas kelabnya selepas mengemudi mereka menjulang trofi DFB-Pokal ketika berdepan Bayern, setahun lalu.

"Gladbach cukup ampuh dalam serangan balas, kita semua tahu tentang itu. Mereka pasti dahagakan kejayaan dan mahu menang juga!

"Kami perlu memberi tumpuan kepada corak permainan sendiri dan berharap berita gembira berlaku di venue yang lain," kata Favre.

"Permainan ini harus menjadi tumpuan kami dan kami perlu memenanginya.

"Segalanya masih berkemungkinan. Tentang berapa tinggi peluangnya, sukar untuk saya mengatakannya dan saya sememangnya tidak mahu bercakap mengenainya.

"Kami harus menang di Gladbach, seperti yang anda katakan, Gladbach juga mahu menang. Kami perlu mempamerkan aksi di peringkat tertinggi dan menang."

Dortmund mendapat suntikan moral dengan kembalinya kapten, Marco Reus, daripada penggantungan tetapi Marius Wolf akan terus menjalani penggantungan meskipun kedua-dua pemain tersebut dibuang padang dalam kekalahan 'derby' kepada Schalke.

Penjaga gawang, Roman Burki, dijangka beraksi selepas mengatasi masalah paha tetapi Favre berkata pertahanan, Abdou Diallo, mungkin tidak dapat diturunkan kerana masih bergelut dengan masalah otot yang meminggirkannya dalam kemenangan 3-2 ke atas Fortuna Dusseldorf.