Zinedine Zidane berharap jendela perpindahan berakhir segera selepas mula penat dengan khabar angin mengenai penghijrahan Neymar yang mahu kembali ke bumi Sepanyol.

Gergasi LaLiga, Real Madrid dan seterunya, Barcelona, dipercayai bersaing untuk mendapatkan khidmat Neymar selepas Paris Saint-Germain (PSG) mengesahkan dia tidak lagi mahu kekal di Paris.

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan antara topik yang dibincangkan ketika ini, namun Zidane enggan mengulas panjang dan kini lebih terarah kepada perancangannya untuk menghadapi aksi kedua LaLiga berdepan Real Valladolid.

"Saya sedang bekerja dengan pemain-pemain yang berada dalam pasukan ini dan kami sedang membuat persiapan untuk melakar kemenangan," kata Zidane.

"Segalanya boleh berlaku sehingga 2 September.

"Mungkin terdapat pemain baru menyertai kami dan ada yang bakal meninggalkan pasukan. Saya mahu perbincangan ini dapat diakhiri dengan secepat mungkin.

"Saya kini meletakkan tumpuan untuk perlawanan malam ini. Ia adalah keutamaan saya."

Pemain kebangsaan Costa Rica, Keylor Navas, berada di bangku simpanan ketika Real mengatasi Celta Vigo 3-1 dalam aksi pembukaan minggu lalu.

Di sebalik minat daripada PSG terhadap penjaga gol berusia 32 tahun itu, Zidane berharap dia akan terus bersama Real.

"Buat masa ini, Navas adalah pemain Real," tambah Zidane.

"Dia seorang yang profesional. Kami amat memerlukan khidmatnya kerana dia adalah pemain penting buat Real."