Ketua jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Jacob Joseph, terpaksa menggunakan kaedah pemilihan terbuka untuk mencari pemain berkualiti sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Kelayakan AFC B-19 di Hanoi, Vietnam, Oktober depan.

Joseph baru sahaja dilantik sebagai jurulatih skuad wanita negara sejak empat bulan lalu.

Kekurangan maklumat pemain di bahagian persatuan negeri menyaksikan Joseph menggunakan kaedah pemilihan terbuka agar dapat mencari pemain dari seluruh Malaysia dengan kadar segera selain menilai sendiri tahap permainan setiap pemain.

Ini merupakan sesi pemilihan kedua setelah sesi pertama dilangsungkan sekitar Mac lalu.

"Saya buat pemilihan terbuka kerana saya baru mengambil alih tugas ini selain belum melaksanakan program di peringkat akar umbi.

"Ramai pemain di luar sana yang tidak tahu, jadi saya buat pemilihan terbuka ini agar mereka dapat mencuba nasib dan saya berpeluang mendapatkan pemain baru," katanya.

Daripada 100 pemain yang menghadiri sesi pemilihan, Joseph akan memilih 34 pemain untuk menjalani latihan pusat, seterusnya akan ditapis menjadi 23 pemain yang akan menjadi senarai akhir membawa cabaran skuad Malaysia.

"Saya agak berpuas hati kerana ibu bapa datang memberi sokongan (untuk sesi pemilihan).

"Kalau dulu (senario) tidak seperti ini apabila sekitar 15 pemain sahaja yang akan hadir. Sekarang, 100 pemain yang datang.

"Oleh itu, kita boleh nampak potensi bola sepak wanita untuk berkembang (pada masa depan)," katanya.