Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi jaminan bahawa beliau tidak akan jadi pemimpin boneka apabila muncul individu pertama yang bukan daripada kerabat raja atau ahli politik yang mengetuai badan sukan paling berpengaruh di negara ini.

Cabaran besar menanti Hamidin apabila diumumkan menang tanpa bertanding jawatan presiden dalam Kongres FAM Ke-54, hari ini.

Walaupun memiliki pengalaman lebih 28 tahun dalam pengurusan bola sepak negara, namun realitinya pengaruh bekas setiausaha agung FAM itu lebih kecil berbanding enam presiden terdahulu.

Hamidin, yang menggantikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletakkan jawatan pada Mac lalu, menetapkan 30 perkara utama yang perlu dicapai seperti layak ke Sukan Olimpik dan berada dalam kelompok lapan terbaik Sukan Asia 2022.

"Persoalan timbul bahawa saya sekadar presiden boneka. Saya beri jaminan bahawa saya tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak.

"Tiga elemen yang saya perlu jaga, bermakna daripada segi kewangan, prestasi pasukan kebangsaan serta pembangunan bakat muda. Sampai masa nanti saya akan umumkan tetapi dalam tempoh tiga tahun, saya akan cuba realisasikan," katanya.

"Saya berharap agar presiden FAM yang baru akan benar-benar memberi kerjasama kepada Menteri Belia dan Sukan yang baru dalam memastikan wujud elemen menghormati antara satu sama lain. Tujuannya adalah untuk memperbaiki apa sahaja kelemahan dalam bola sepak tanah air," ujar Tunku Ismail.

Dalam masa sama, pemilihan Hamidin nyata menerima sokongan daripada beberapa individu penting bola sepak kebangsaan sambil mengharapkan beliau mampu menggalas amanah yang diberikan dengan baik.

"Perkara utama yang ingin dititikberatkan adalah pasukan kebangsaan, bermakna dia mengetahui secara tepat tentang keperluan bola sepak Malaysia. Jadi, daripada segi kemampuan, saya rasa dia cukup bersedia," kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

"Saya rasa pembangunan akar umbi juga perlu diberikan fokus," tambah Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan.

Sementara itu, ketika Hamidin masih belum memutuskan penggantinya selaku setiausaha agung, terdapat beberapa nama individu yang dikaitkan.

Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab itu sekiranya diberi kepercayaan sepenuhnya oleh Hamidin.

Namun, nada berbeza disuarakan oleh exco FAM, Christopher Raj, apabila tidak berminat untuk mengisi kekosongan jawatan itu sambil nama lain yang turut menjadi sebutan adalah Stuart Ramalingam.

"Kalau ditanya tentang penglibatan dalam bola sepak, saya sentiasa bersedia untuk mencurahkan khidmat kerana ia seperti darah daging saya," kata Afandi.

"Terus terang, Datuk Hamidin bertanya kepada saya tentang perkara ini semasa di Moscow dan saya telah memberitahunya saya tidak berminat.

"Saya rasa FAM memerlukan setiausaha agung yang memiliki pengalaman komersial secara kukuh," ujar Christopher.