Ketika industri bola sepak di negara lain sedang berkembang pesat, situasi di Malaysia tampak berbeza apabila pasaran pemain tempatan jatuh mendadak sehingga beberapa pemain ternama masih belum mempunyai pasukan menjelang permulaan Liga Malaysia bulan depan.

Bermula sahaja musim baru, pasti akan timbul masalah pemain tidak mempunyai pasukan untuk diwakili.

Jika sebelum ini ia hanya membabitkan pemain kurang ternama, trend terkini menunjukkan beberapa pemain ternama juga berdepan masalah sama.

Hal itu dikongsikan ejen pemain, Efendi Jagan Abdullah, yang mendedahkan gaji pemain tempatan susut sebanyak 50 peratus sejak dua tahun lalu.

"Saya rasa perkara ini turut berkaitan dengan bajet setiap pasukan.

"Apabila bajet pasukan berkurangan, pemain yang sepatutnya menerima gaji RM40,000 hingga RM50,000 akan berkurangan kepada RM15,000 hingga RM20,000.

"Jadi, pemain yang sepatutnya dalam lingkungan itu (15,000-RM20,000) tidak dapat menyertai mana-mana pasukan.

"Lingkungan umur pemain itu adalah dari usia 25 hingga 34 tahun," katanya.

Selain pemain tumbuh bagaikan cendawan, faktor lain yang menyebabkan situasi itu berlaku adalah sikap pemain sendiri.

"Jagalah sedikit (sikap) kerana pemain-pemain muda sudah tiba," kata bekas ketua jurulatih skuad negara, B. Sathianathan, pula.

"Kini, ramai jurulatih yang berani mengetengahkan pemain muda.

"Jadi, kena jaga sedikit.

"Kerana pasukan tidak dapat berbelanja seperti dahulu, jadi mereka tidak memiliki skuad yang besar kerana tidak boleh berbelanja," katanya.


Editor: Muzaffar Musa