"Mereka terlalu penat," kata ketua jurulatih skuad B-18 tahun negara, Brad Maloney, yang menyifatkan aksi 120 minit dengan Indonesia dalam separuh akhir menjadi punca pemainnya hilang rentak sebelum terlepas kejuaraan dalam Kejohanan AFF B-18 kepada Australia di Bandaraya Ho Chi Minh, semalam.

Ia bukan alasan tetapi itulah punca utama yang menyumbang kepada kegagalan skuad muda negara itu untuk melakar kejutan dan akur dengan kekalahan 0-1 di tangan Australia dalam final.

"Ia memerlukan kecergasan yang sedikit lebih daripada pemain saya.

"Kebanyakannya berpunca daripada aksi 120 minit dalam perlawanan sebelumnya.

"Untuk segera pulih selepas situasi itu bukan mudah, namun dalam babak kedua, mereka telah menunjukkan yang mereka cergas dan telah melakukannya dengan amat baik," katanya.

Dengan tempoh rehat hanya 48 jam selepas melewati aksi berat dengan Indonesia, Australia jelas lebih beruntung untuk mengakhiri aksi separuh akhir dengan Myanmar dalam tempoh 90 minit.

Kerahan tenaga skuad negara bermula dalam aksi terakhir Kumpulan B, yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada Thailand.

Ujian lebih berat dilalui mereka dalam separuh akhir apabila perlawanan terpaksa dilanjutkan hingga 120 minit sebelum skuad kendalian Maloney itu mencatatkan kemenangan 4-3.

"Lihatlah, aksi dalam babak kedua jelas lebih baik buat kami.

"Kami memberikan banyak tekanan kepada Australia dan mereka amat beruntung kerana tidak dibolosi terlebih dahulu.

"Namun, itulah bola sepak.

"Mereka memperoleh satu peluang dan mereka mengambilnya," tambahnya.