Mangsa pertama daripada 13 anggota skuad bola sepak belia yang terperangkap di dalam sebuah gua di Thailand selamat dikeluarkan sebentar tadi dan sekurang-kurangnya enam pemain lagi sedang dipindahkan dari gua berkenaan, menurut Reuters.

Pemain itu segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selepas terperangkap di bawah tanah selama hampir dua minggu.

Kejayaan itu hadir selepas beberapa jam 13 pakar penyelam serta lima anggota Tentera Laut Thailand memasuki gua itu dalam usaha untuk mengeluarkan mangsa seorang demi seorang tatkala mereka perlu melalui laluan sempit di dalam terowong gua.

Menurut CNN: "Untuk mencapai para pemain, para penyelam harus mengharungi terowong gelap dan ditakungi air sehingga enam jam. Keseluruhan perjalanan itu membabitkan hampir 11 jam, operasi berkenaan mungkin memerlukan beberapa hari lagi sebelum kesemua mangsa dapat diselamatkan."

Para pemain dan jurulatih mereka itu dianggarkan terperangkap sejauh 1.24 batu dari pintu gua dan kira-kira 0.6 batu di bawah permukaan.

Bergantung kepada keadaan cuaca dan air, keseluruhan operasi menyelamatkan 13 anggota skuad pasukan tersebut dijangka akan memakan masa selama dua hingga empat hari, menurut Mejar Jeneral, Chalongchai Chaiyakam.

Sekumpulan pemain berusia di antara umur 11 dan 16 tahun serta seorang jurulatih berusia 25 tahun terkandas di dalam gua itu sejak 23 Jun lalu ekoran hujan lebat yang membanjiri Gua Thuang Luang Nan Non di Chiang Rai -- destinasi tarikan pelancong di rantau ini.

Mereka telah hilang selama 10 hari sebelum ditemui.