Pemain Jerman akur persaraan Ozil -- Neuer

Oleh Staff Writer 3 Ogos 2018 4002
Pemain Jerman akur persaraan Ozil -- Neuer
Manuel Neuer mendakwa pemain-pemain Jerman akur dengan keputusan Mesut Ozil untuk bersara daripada tugasan antarabangsa.

Pemain tengah Arsenal itu menamatkan kerjayanya bersama Die Mannschaft selepas impian pasukan bimbingan Joachim Low itu untuk mempertahankan gelaran dunia musnah apabila terkandas di peringkat kumpulan Piala Dunia Russia.

Persiapan Jerman untuk mengharungi temasya Russia 2018 itu dibayangi oleh pertemuan kontroversi di antara Ozil dan rakan sepasukan, Ilkay Gundogan, dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, di London.

Kedua-dua pemain Jerman berdarah Turki itu mengundang kontroversi apabila bergambar di samping pemimpin itu yang menerima kecaman hebat daripada beberapa pihak.

Bulan lepas, Ozil mengumumkan bahawa dia tidak lagi boleh bermain untuk negaranya lalu mengkritik Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB) serta presidennya, Reinhard Grindel, tentang bagaimana mereka mengendalikan insiden itu.

Ramai tokoh terkenal bola sepak Jerman, terutama Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, turut mengutuk tindakan pemain berusia 29 tahun itu.

Bagaimanapun, penjaga gol Bayern, Neuer, mengakui bekas bintang Real Madrid itu berhak untuk membuat keputusan bersara dan berasakan prestasi buruk Jerman di Russia telah memperbesarkan isu berkenaan. 

"Kalau kedua-dua mereka (Ozil dan Gundogan) atau semua pemain beraksi hebat dalam Piala Dunia, kami tidak akan berdiri di sini dan bercakap tentang ini," katanya.

Ditanya apakah dia kecewa dengan persaraan Ozil, Neuer menjawab: "Ini keputusan pemain (setiap individu).

"Apabila pemain meluahkan bahawa dia ingin bersara, itu keputusannya sendiri. Anda perlu mempunyai alasan untuk melakukannya dan dalam kes itu, dia telah menemuinya.

"Sudah tentu kami menerima keputusan tersebut. 

"Pada masa lalu, pemain lain juga telah meninggalkan kerjaya mereka bersama pasukan kebangsaan sejurus kejohanan seperti Euro atau Piala Dunia berakhir."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen