Karim Ansarifard menggesa pegawai bola sepak di Iran agar memastikan jurulatih, Carlos Queiroz, kekal bersama pasukan itu selepas Piala Dunia.

Queiroz memimpin Iran meraih kemenangan sulung dalam Piala Dunia dalam tempoh 20 tahun dan yang kedua dalam sejarah mereka menerusi gol sendiri Aziz Bouhaddouz ketika menghadapi Maghribi semalam.

Bekas jurulatih Real Madrid itu yang telah menggalas tanggungjawab berkenaan sejak April 2011, mengumumkan akan melepaskan jawatannya sejurus kejohanan itu berakhir berikutan hanya ditawarkan lanjutan kontrak selama enam bulan.

Penyerang Ansarifard itu menganggap Queiroz berhak untuk terus mengemudi pasukan itu dan memberitahu pemberita: "Kami mempunyai salah seorang jurulatih paling hebat di dunia.

"Dia berjuang untuk kami, dia mengajar kami dan kami belajar sesuatu daripadanya setiap hari. Dan pastinya ia peluang yang baik jika kami dapat memastikan dia terus berada bersama pasukan kerana kami masih belajar daripadanya.

"Kami berharap dia akan kekal dan kami akan berdoa agar dia akan kekal kerana kini selepas tujuh tahun, dia merupakan salah seorang daripada kami dan dia telah berusaha memberikan segala-galanya kepada pasukan kebangsaan.

"Dia berhak kekal bersama kami dan membuatkan semua rakyat Iran bangga."

Iran akan meneruskan kempen kumpulan dengan menghadapi Portugal di Kazan, Rabu ini.