Keputusan sama ada pemain Pahang, Mohamadou Sumareh, dapat menyertai pasukan kebangsaan masih belum ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).

Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, berkata pengurusan persatuan belum mengadakan perbincangan bagi melepaskan pemain kelahiran Gambia itu untuk menyertai pasukan negara.

"Kita tidak dapat keputusan rasmi lagi. Mungkin itu cakap-cakap dan kita akan berbincang di peringkat persatuan," katanya kepada pemberita hari ini.

Hari ini media melaporkan sesi latihan Harimau Malaya di Stadium Hang Tuah semalam tidak dihadiri Sumareh kerana dipercayai belum mendapat pelepasan daripada Pahang.

Pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, sebelum ini dilaporkan berkata pasukan itu tidak mempunyai halangan untuk Sumareh dan dua lagi pemain Pahang untuk mewakili negara.

Penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha, dan pemain pertahanan, Matthew Davies, telah pun mendaftar masuk kem bersama-sama 21 pemain lain.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berharap Pahang akan melepaskan pemain naturalisasi berusia 27 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasukan negara.

Cheng Hoe berkata FAM sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan Sumareh dari Pahang.

Skuad negara akan berlatih selama tiga hari di Melaka sebelum berlepas ke Colombo esok untuk menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan Jumaat ini.

Difahamkan, Sumareh dalam perjalanan dari Kuantan ke Melaka hari ini untuk menyertai latihan bersama skuad kebangsaan.

-- BERNAMA