Legenda Brazil, Pele, menyifatkan kecederaan yang dialami Dani Alves sehingga terpaksa melupakan saingan Piala Dunia sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.

Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) semalam mengesahkan bahawa pertahanan Paris Saint-Germain (PSG) itu memerlukan pembedahan pada lututnya susulan kecederaan yang diterima sewaktu aksi final Piala Perancis.

Alves terpaksa disingkirkan daripada kejohanan di Russia, di mana dia dilaporkan menjadi pilihan pengendali, Tite, untuk menggalas cabaran selaku ketua pasukan.

Pele, yang beraksi dalam pusingan akhir Piala Dunia 1958 – di mana dia memulakan kejayaan tiga trofi Piala Dunia – dengan kecederaan dan kesakitan ketika edisi 1966 di England, menyatakan rasa simpatinya kepada rakan senegaranya itu.

“Saya sedih mendengar perkhabaran ini,” kata kenyataan legenda berusia 77 tahun itu di laman Twitter peribadinya.

“Pemain bola sepak amat benci apabila terlepas perlawanan dan saya tahu gagal beraksi dalam Piala Dunia adalah sesuatu yang amat memeritkan.”

Doktor pasukan kebangsaan Brazil, Rodrigo Lasmar, mengesahkan ketika sidang media bahawa Alves bakal berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan pada lututnya.

“Tiada perkiraan yang rumit. Ia akan mengambil masa kira-kira enam bulan,” katanya.

“Sudah tentu Alves sangat kecewa. Dia seorang pemain berpengalaman, mempunyai kekuatan dan keseimbangan. Dia mahu tahu apa yang perlu dilakukan untuk membolehkannya beraksi.

“Alves mahu segera pulih,” tambah Lesmar.

Situasi yang melanda Alves itu pastinya memberikan masalah buat Tite sambil beberapa nama seperti Rafinha (Bayern Munich) dan Danilo (Manchester United) mungkin menjadi antara pilihannya menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang Switzerland pada 17 Jun depan.