Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mahu peminat bersabar dan bersikap realistik jika mahu melihat kejayaan skuad negara di pentas antarabangsa selepas pelantikan jurulatih baru, Nelo Vingada.

Tunku Ismail tidak mahu kehadiran jurulatih dari Portugal itu hanya dianggap semata-mata melatih skuad kebangsaan tetapi merangkumi aspek pembangunan jurulatih serta memperbaiki sistem bola sepak di negara ini.

Walaupun sedar ramai pihak begitu dahagakan kejayaan skuad negara di pentas antarabangsa, Tunku Ismail mahu mereka memberikan masa kepada Vingada memandangkan dia masih dalam fasa mengenali budaya bola sepak negara.

"Kita sudah ada jurulatih yang sangat layak. Kita tidak melihat kepada kejayaan jangka pendek, idea di sini adalah untuk kejayaan jangka masa panjang. Kejayaan yang akan dihargai, yang dibanggakan oleh kita semua suatu masa nanti, dengan skuad kebangsaan dan struktur.

"Kita tidak ada banyak masa. Untuk mendapatkan keputusan (baik) ia mengambil masa tetapi itulah bola sepak, tiada datang dengan mudah," katanya dalam majlis pengenalan jurulatih itu di ibu negara, hari ini.

"Kita perlu memahami kita mempunyai sumber yang terhad tetapi kami akan melakukan yang terbaik, apa yang boleh kami lakukan untuk menyumbang kepada bola sepak Malaysia daripada segi kemajuan."

Mengenai perancangan skuad Sukan SEA, Tunku Ismail berkata skuad negara akan ke China, 8-16 Jun ini, serta menghadapi tiga perlawanan persahabatan.

Tunku Ismail turut berharap semua pasukan dalam Liga Malaysia tidak keberatan melepaskan pemain masing-masing walaupun tiada paksaan daripada FAM untuk berbuat demikian.

"Ini adalah kes yang berbeza, ia bukan perlawanan persahabatan biasa di luar negara. Ini adalah pertandingan di mana kita mengharapkan skuad kebangsaan melakukan dengan baik kerana ini (Sukan SEA) adalah gelanggang kita, kita penganjur.

"Jadi bagi saya, saya akan melepaskan pemain saya dan saya harapkan pasukan lain akan melepaskan pemain mereka juga kerana ini kes berbeza, kes istimewa.

"Menjadi penganjur, takkan kita mahu disingkirkan. Kita mahu melakukan dengan baik untuk negara dan diharapkan ia mendapat hasil yang baik," tambahnya.