Peguam Cristiano Ronaldo berkata bintang Juventus itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan rogol terhadapnya dan mendakwa kenyataan yang kononnya adalah daripada pemain itu sendiri, telah dipalsukan.

Bekas model warga Amerika Syarikat, Kathryn Mayorga, menuduh Ronaldo menyerangnya secara seksual di sebuah hotel di Las Vegas pada 2009, sesuatu yang disangkal oleh bintang Portugal itu.

Sebuah penerbitan Jerman, Der Spiegel, adalah pihak pertama yang melaporkan dakwaan itu, yang turut mengandungi cadangan Ronaldo telah membayar Mayorga USD375,000 (RM1.5 juta) pada 2010 sebagai sebahagian daripada perjanjian peribadi bagi mengelakkannya daripada menghebahkan tuduhan itu kepada umum.

Mayorga memfailkan satu saman perundangan bulan lalu untuk membatalkan perjanjian tersebut tatkala polis Las Vegas sudah membuka semula siasatan kes berkenaan.

Peguam Ronaldo, Peter Christiansen, mengesahkan bayaran itu telah dibuat kepada Mayorga tetapi mengkritik satu laporan baru hujung minggu lalu yang menurutnya adalah berdasarkan bukti yang dipalsukan.

Dalam satu kenyataan, Christiansen berkata: "Saya telah dilantik untuk mewakili Cristiano Ronaldo berhubung satu dakwaan berkaitan satu kejadian pada 2009, yang tertakluk kepada persetujuan bersama di antara pihak-pihak terbabit pada 2010.

"Memandangkan sebelah pihak telah memungkiri perjanjian dan disusuli tuduhan pada hari-hari berikutnya, Ronaldo berasa dia tidak boleh berdiam diri lagi, malah berhak untuk memberi responsnya seperti yang dibenarkan dalam perjanjian tersebut.

"Adalah jelas, Ronaldo menafikan semua tuduhan terhadapnya dan secara konsisten mengekalkan penafiannya sepanjang tempoh sembilan tahun lalu.

"Dokumen yang kononnya mengandungi kenyataan daripada Ronaldo dan dilaporkan media, adalah sesuatu yang diada-adakan. Mengikut fahaman saya, pada 2015, beberapa entiti termasuk daripada firma guaman yang merentasi industri di serata Eropah telah digodam dan data elektronik mereka dicuri serta dimiliki oleh seorang penjenayah siber.

"Penggodam ini cuba untuk menjual data tersebut dan sebuah syarikat media secara tidak bertanggungjawab telah menyiarkan dokumen itu, di mana ia sebahagian atau sepenuhnya telah diubah.

"Untuk mengelakkan keraguan, Ronaldo kekal dengan pendirian seperti sebelum ini, iaitu apa yang berlaku di Las Vegas pada 2009 adalah atas dasar kerelaan kedua-dua pihak terbabit.

"Tatkala Ronaldo tidak menafikan kewujudan satu perjanjian bersama, keinginannya untuk mencapai persetujuan itu telah diputarbelitkan.

"Jauh daripada satu pengakuan bersalah atau sebarang motif dengan niat tersembunyi, Ronaldo dinasihatkan agar menyelesaikan segala dakwaan terhadapnya demi mengelakkan sebarang cubaan untuk memusnahkan reputasinya yang terbina di atas usaha keras, kesukanan dan kehormatan.

"Malangnya, dia kini mendapati dirinya terpalit dengan satu saman undang-undang yang sudah menjadi kebiasaan di Amerika Syarikat."

Kenyataan Christiansen itu juga menegaskan bahawa Ronaldo tidak bersalah sambil sekali lagi mengkritik apa-apa laporan berkaitan dakwaan terhadap kapten Portugal itu.

"Walaupun Ronaldo sering menjadi perhatian media seiring dengan statusnya sebagai seorang yang terkenal, adalah sesuatu yang keji bahawa mana-mana syarikat media menyokong kempen memburuk-burukkannya berdasarkan dokumen digital yang dicuri dan dimanipulasi,” kata kenyataan itu lagi.

"Ronaldo akan membiarkan sebarang perbincangan masa depan berkaitan perkara undang-undang kepada peguamnya di Las Vegas dan Eropah. Dia yakin kebenaran akan terserlah juga akhirnya dan undang-undang Nevada akan ditegak dan dikuatkuasakan."