Pemain baru Barcelona, Paulinho, yakin dia telah melakukan keputusan tepat untuk meninggalkan kelab China, Guangzhao Evergrande Taobao, dan berhijrah ke Camp Nou.

Paulinho menerima tawaran kontrak selama empat tahun selepas Barca bersetuju untuk mengaktifkan klaus perpindahannya bernilai EUR40 juta (RM201 juta).

Kehadirannya mencetuskan persoalan sama ada dia mampu untuk beraksi dalam sistem Barcelona, selepas kegagalannya mempamerkan prestasi hebat ketika beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Tottenham Hotspur sebelum ini.

“Saya yakin mampu menyesuaikan diri di Barca dan membuktikan segala usaha kelab untuk membawa saya ke sini berbaloi.

“Walaupun sedar Barca memiliki gaya mereka sendiri, saya yakin mampu bermain seperti yang dimahukan.

“Keinginan saya adalah memenangi trofi dan saya akan bermain di mana yang diperlukan,” kata Paulinho.

Pemain tengah Brazil itu turut menyifatkan keyakinan dirinya meningkat selepas mengharungi karier yang hebat ketika di China.

"Dalam musim kedua saya bersama Spurs, segalanya tampak tidak menjadi, membuatkan saya terpaksa menerima tawaran dari China dan akhirnya berjaya membina semula tahap keyakinan saya.

"Barca tetap Barca dan saya tidak rasa anda boleh katakan tidak kepada mereka. Berpindah ke sini adalah satu impian,” tambahnya.