Malaysia mungkin berpeluang untuk melihat seorang lagi anak watan beraksi di Jepun selepas kelab bola sepak Liga Jepun (Liga-J), Cerezo Osaka, melancarkan program "Projek Pasukan Idaman ASEAN" dalam misi mencari lima pemain muda tempatan untuk diberikan ruang berlatih di sana.

Ini merupakan tahun kedua Cerezo Osaka melaksanakan program mencari bakat di rantau ASEAN.

Malaysia bertuah apabila kekal menjadi antara tiga destinasi pencarian bakat oleh kelab itu yang turut disertai Thailand manakala Myanmar menggantikan Vietnam selepas edisi pertama tahun lalu.

Objektif program itu adalah untuk mencari 15 pemain bawah 17 tahun untuk digilap bakat mereka dan berlatih di Akademi Cerezo Osaka selain turut berpeluang menonton aksi Liga-J.

Presiden Cerezo Osaka, Hiroashi Morishima, yang merupakan sebahagian daripada anggota skuad Jepun dalam Piala Dunia 1998, tidak menolak seandainya terdapat bakat muda tempatan yang berpotensi, maka dia akan cuba menyerapkan pemain itu ke dalam akademinya.

Proses pemilihan akan dijalankan di Stadium Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Jun depan dan lima pemain tempatan yang terpilih akan menyertai rakan-rakan dari Thailand dan Myanmar untuk menjalani latihan pusat di Osaka, bermula Ogos depan.

"Saya amat tertarik dengan pemain-pemain di rantau ASEAN, khususnya Malaysia, kerana mereka mempunyai teknik yang baik.

"Saya mahu mereka mendapat pendedahan yang terbaik dan ini antara usaha yang boleh kami lakukan untuk mencungkil bakat mereka yang terpilih," kata Morishima.