Lucas Paqueta kini bersedia untuk menggalas tanggungjawab menyarung jersi nombor 10 Brazil selepas ketiadaan Neymar yang mengalami kecederaan.

Brazil meneruskan persiapan untuk menghadapi Copa America 2019 apabila turun menentang Panama pada awal pagi Ahad ini sebelum berdepan Republik Czech tiga hari kemudian.

Kecederaan yang melanda Neymar membolehkan pemain tengah AC Milan, Paqueta, diberikan jersi keramat skuad Selecao itu walaupun dia masih belum tampil dalam kesebelasan utama di peringkat antarabangsa dan hanya beraksi selaku pemain gantian dalam dua penampilan sebelum ini.

Namun, pemain berusia 21 tahun itu yang menyertai Milan daripada Flamengo, Januari lalu, tidak gentar dengan prospek menyarung jersi tersebut walaupun ia pernah digunakan oleh beberapa legenda Brazil.

"Menggunakan jersi nombor 10 Brazil pastinya hebat apabila saya melaluinya buat kali pertama," kata Paqueta.

"Saya sedar tanggungjawab yang diberi. Saya harap dapat membantu pasukan. Ronaldinho, Pele, Zico serta ramai legenda lain pernah menggunakannya. Hari ini, saya meraih peluang itu dan berharap dapat memberikan aksi terbaik.

"Jersi nombor 10 adalah satu tanggungjawab besar. Namun, ia perkara sama apabila menyarung jersi Brazil. Tidak kira apa nombor, mereka tetap pasukan lima bintang."

Paqueta menyinar bersama Milan sejak berhijrah ke Serie A apabila melakukan sembilan penampilan yang menyaksikannya menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan.

Dia percaya kejayaan di Itali menjadi faktor utama kepada keyakinannya untuk bergelar perancang utama buat skuad kebangsaan Brazil.

"Ia adalah detik terbaik untuk saya," tambahnya.

"Sudah tentu saya masih perlu menyesuaikan diri.

"Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada proses pasukan ini. Milan memberikan saya sokongan penuh dan mempersiapkan saya untuk detik ini. Saya sentiasa mahu beraksi dan datang ke sini dengan komitmen 100 peratus mahu membantu pasukan.

"Taktikal Brazil dan Milan agak sama. Di Milan, saya beraksi di bahagian sayap kiri, posisi yang saya sukakan. Di sini ada ramai pemain hebat dan pengendali Brazil, Tite, memberikan kebebasan buat saya untuk bermain."