Mesut Ozil, Aaron Ramsey dan Sokratis Papastathopoulos terlepas rombongan Arsenal untuk berdepan BATE dalam kempen Liga Europa awal pagi esok, demikian disahkan Unai Emery.

Ozil, yang bergelut untuk merebut tempat dalam pasukan utama kebelakangan ini, hanya muncul sekali dalam skuad utama pada 2019, iaitu ketika mereka menundukkan Cardiff City 2-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Emirates bulan lalu.

Pengatur serangan itu terlepas aksi dalam kemenangan di Huddersfield Town, Sabtu lalu selepas mengadu tidak sihat, justeru Emery enggan mengambil risiko terhadapnya dalam perlawanan pusingan 32 Liga Europa awal pagi esok meskipun dia sudah kembali menjalani latihan penuh.

Ramsey, yang awal minggu ini mengesahkan akan berpindah ke Juventus pada akhir musim ini, masih dibelenggu masalah lutut sementara Sokratis akan diketepikan sebagai langkah berjaga-jaga,

Bagaimanapun, Emery berharap dapat mempertaruhkan bisa Pierre-Emerick Aubameyang.

"Kami akan menurunkan pemain yang cergas," ujar pengurus The Gunners itu dalam sidang akhbar.

"Pemain yang tidak berada dalam skuad ketika ini adalah Ramsey yang tidak dapat mengikuti latihan sementara Sokratis pula sudah memulakan latihan tetapi keadaannya belum sesuai, begitu juga dengan Mesut.

"Aubameyang sudah mula berlatih sejak Isnin lalu dan saya berasa dia sudah bersedia untuk perlawanan ini."

Denis Suarez hampir pasti akan tersenarai untuk menghadapi fasa kalah mati ini, namun Emery mencadangkan pemain pinjaman daripada Barcelona itu mungkin akan diletakkan di bangku simpanan buat sementara waktu untuk memberi ruang kepadanya menyesuaikan diri.

"Dia menyesuaikan diri dengan baik tetapi dia memerlukan masa," kata Emery. "Dia sudah bersedia untuk memulakan perlawanan tetapi dia juga boleh berada di bangku simpanan.

"Dia perlu sedikit demi sedikit diketengahkan dalam perlawanan."

Emery menjangkakan aksi sukar menentang BATE yang menduduki tempat kedua di belakang Chelsea dalam saingan peringkat kumpulan sungguhpun dikalahkan Arsenal 4-2 dan 6-0 dalam pertemuan musim lalu.

"Tahun lalu, Arsenal menang 4-2 di sini. Pada tahun ini pula, mereka tewas 0-1 kepada Chelsea di peringkat kumpulan tetapi berpeluang untuk mencetak gol dan meraih keputusan seri," katanya.

"Mereka sudah bersedia sejak pra-musim lagi. BATE merupakan sebuah pasukan yang sangat teratur. Motivasi mereka pasti sangat tinggi."