Jurulatih Jerman, Joachim Low, berkata dia mempunyai skuad yang sempurna untuk diturunkan, termasuk Mesut Ozil, bagi menghadapi aksi sulung dengan Mexico malam esok sambil membayangkan Timo Werner dan Julian Draxler akan menyerlah dalam Piala Dunia Russia.

Ozil mengalami kecederaan lutut, namun telah menjalani sesi latihan tambahan minggu ini dalam usaha untuk mengembalikan kecergasannya bersama juara bertahan itu di Moscow.

Werner mencuri perhatian dalam Piala Konfederasi tahun lalu, kejohanan yang Jerman menangi ketika diketuai Draxler.

Sehubungan itu, Low yakin pasangan itu akan mengambil peranan utama bersama Die Mannschaft.

"Kami telah berlatih secara intensif, semua pemain cergas. Mesut menjalani dua sesi latihan tambahan minggu ini, Selasa dan Rabu.

"Kesan keseluruhannya baik, dia cergas. Barisan utama akan didedahkan kepada pasukan pada malam ini, masih terdapat dua atau tiga perkara yang saya pertimbangkan," kata Low.

Penyerang RB Leipzig, Werner, telah mengambil alih peranan utama untuk mengetuai jentera serangan Jerman daripada Mario Gomez dan Low turut kagum dengan perkembangannya.

"Timo menyertai pasukan semasa Piala Konfederasi dan pada tahun berikutnya. Adalah adil untuk mengatakan bahawa dia telah membuktikan asetnya yang paling penting: kepantasannya.

"Dia berusaha untuk sentiasa membantu di bawah dan dia tidak hanya mencipta peluang, malah menjaringkan gol. Dia menjadi pemain yang sangat penting untuk kami."

Draxler muncul di samping Low dalam sidang akhbar itu, begitupun jurulatih itu menepis cadangan bahawa pemain tengah Paris Saint-Germain itu hampir pasti akan disenaraikan dalam kesebelasan di Stadium Luzhniki esok.

"Sebagaimana komitmen akhbar memilih pemain, ia bukan keputusan saya," katanya.

"Bagaimanapun, dia mengambil langkah besar dalam Piala Konfederasi, dia sering menjadi pemain yang sangat berbakat tetapi tanggungjawab sebagai kapten memberikannya satu lagi dorongan.

"Saya peminat kepada keupayaannya, dia sangat pantas dan memiliki penyudah yang baik. Beberapa bulan terakhir dia melakukan yang terbaik dan dia boleh menjadi salah satu faktor yang boleh menjadi penentu dalam kempen Piala Dunia ini," ujarnya.

Jerman mengintai peluang untuk muncul sebagai pasukan pertama mempertahankan gelaran Piala Dunia sejak Brazil melakukannya pada tahun 1962, namun Low mengakui ia sukar sambil menjelaskan andai gagal, ia bukanlah disebabkan oleh keinginan yang kendur.

"Ia adalah tugas paling sukar dan sejarah telah membuktikan bahawa setiap pasukan telah berkembang maju," katanya.

"Dalam setiap edisi Piala Dunia, pemain akan bersara dan anda perlu menggilap pemain baru tetapi daripada segi cita-cita dan keinginan, itu jelas ada. Tiada acara yang lebih besar bagi seseorang pemain melainkan untuk bermain dalam Piala Dunia.

"Tetapi, adalah penting untuk memberi tumpuan kepada setiap perlawanan dan bukannya memikirkan soal tiga minggu ke hadapan.

"Kami mahu menghantar mesej esok dengan memenangi perlawanan ini, kemudian lihat apa yang berlaku."