Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, memiliki ramuan yang cukup untuk membentuk skuad terbaik bagi menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bermula April depan, sekali gus tidak terjejas jika pengarah teknikal, Terry Walsh, terpaksa meninggalkan Malaysia.

Oltmans menjelaskan persiapan skuad hoki negara tidak terjejas sama ada Walsh kekal atau terpaksa meninggalkan kem kebangsaan.

Dia juga yakin terhadap bantuan yang ditawarkan penolongnya, Stephen Van Huizen dan Mohd Amin Rahim, untuk membentuk skuad baru selepas tamat saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) awal bulan depan.

Ia membuktikan The Malaysian Hockey Tigers kekal fokus terhadap misi menghadapi final Siri Hoki Dunia di Kuala Lumpur dua bulan lagi yang menyediakan dua tiket untuk menghadapi kelayakan Olimpik Tokyo hujung tahun ini.

"Setiap minggu, kami melalui mesyuarat, duduk bersama untuk berbincang tentang pemain, struktur serta cara untuk tingkatkan prestasi. Saya hanya boleh katakan bahawa semua orang sangat terbuka mengenai situasi ini," kata Oltmans.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengadakan sidang media esok untuk menerangkan status Walsh selepas menghadapi masalah kewangan untuk membayar gaji pengendali kelahiran Australia itu.

Spekulasi mendakwa dia akan ditawarkan tugas menguruskan program pembangunan hoki negara.

"Walsh telah menjalankan tugas yang hebat dalam tempoh beberapa tahun untuk hoki Malaysia. Sudah tentu itu yang paling penting," tambah Oltmans.