Pemain tengah Dinamo Zagreb, Dani Olmo, berkata dia sentiasa memasang impian untuk mewakili Sepanyol berbanding Croatia.

Produk akademi Barcelona, Olmo, menyertai Zagreb pada 2014 dan layak untuk mewakili Croatia memandangkan dia masih belum melakukan penampilan bersama skuad senior Sepanyol.

Namun, pemain berusia 21 tahun itu bakal meraih penampilan pertama minggu ini selepas disenaraikan dalam skuad kendalian Robert Moreno itu untuk aksi kelayakan Euro 2020 berdepan Malta dan Romania.

"Saya berbangga apabila Croatia, salah sebuah negara terbaik di dunia, mahukan saya dan memaklumkan perkara itu. Namun, saya warga Sepanyol dan beraksi buat La Roja merupakan impian saya," katanya kepada Radio Marca.

"Seorang pemain bola sepak sentiasa inginkan yang terbaik dan beraksi dengan pasukan kebangsaan, termasuk dalam senarai itu. Saya perlu terus bekerja keras ketika ini untuk mencapainya."

Olmo menjaringkan tiga gol untuk membantu Sepanyol meraih kejayaan dalam Kejohanan Eropah B-21 awal tahun ini sambil di peringkat kelab, dia telah memenangi tujuh kejuaraan utama dalam empat musim bersama Dinamo.

Walaupun dikaitkan dengan penghijrahan ke Manchester City, Manchester United serta jalan pulang ke Barca, Olmo tidak memikirkan tentang sebarang perpindahan.

"Saya berusia 21 tahun, perjalanan masih jauh dan perlu berpijak di bumi nyata," tambahnya.

"Ejen dan bapa saya telah menarik saya keluar daripada isu perpindahan dan saya fokus dengan permainan bola sepak.

"Saya dalam tempoh terbaik selepas kami layak ke final kejohanan dan kami hampir meraih gelaran berganda sekali lagi.

"Datang ke Croatia adalah keputusan paling sukar dalam hidup saya tetapi tiada siapa memberikan tawaran seperti apa yang dilakukan Dinamo, tidak kira sebagai pemain atau individu. Saya fikir telah membuat keputusan tepat."