RANGERS 1 FEYENOORD 0

Sheyi Ojo berkata Rangers sememangnya berhasrat untuk menumpaskan Feyenoord demi Fernando Ricksen sambil mendedahkan gol kemenangannya itu ditujukan kepada bekas kapten kelab berkenaan.


Pemain pinjaman dari Liverpool itu meledak gol apabila perlawanan mencecah minit ke-23 dalam pertembungan Kumpulan G, Liga Europa di Ibrox itu bagi menenangkan gemuruh awal Rangers selepas James Tavernier gagal menyudahkan sepakan penalti.

Mereka mengetepikan tekanan lewat daripada Feyenoord untuk meraih kemenangan 1-0 dan Ojo menjelaskan keyakinan diri serta keinginan untuk memberi penghormatan kepada mendiang Ricksen, yang menghidapi penyakit saraf pada 2013 dan meninggal dunia semalam.

"Ia satu jaringan yang baik tetapi perkara paling penting hari ini adalah untuk meraih kemenangan dan kami berjaya melakukannya," kata Ojo kepada BT Sport.

"Kami percaya kepada diri sendiri dan sedar dengan kemampuan sendiri. Ia adalah mengenai prestasi yang baik buat penyokong di laman sendiri.

"Sebelum perlawanan, semua sempat berkata bahawa kami perlu melakukannya untuknya (Ricksen). Bukan deminya sahaja tetapi apa yang diwakilinya -- semangat perjuangan yang ditunjukkannya dalam beberapa tahun terakhir.

"Sambutan gol saya itu didedikasikan khas buatnya."

Pengurus Rangers, Steven Gerrard, melabel tiga mata yang diraih mereka sememangnya berhak walaupun Allan McGregor perlu tangkas menyelamatkan dua percubaan terakhir bagi mempertahankan kelebihan mereka.

Tuan rumah melancarkan 20 percubaan tepat berbanding Feyenoord 16, justeru Gerrard berkata kreativiti pasukannya -- di samping suasana di Ibrox -- membuktikan bahawa ia menjadi kunci terhadap malam emosional kelab itu.

"Sepanjang 90 minit permainan, jika anda melihat kepada segala kemungkinan, kami memang berhak menang," kata Gerrard. "Kadang-kadang kami perlu meninggalkan posisi dan sangat teratur ketika bertahan.

"Suasana malam ini adalah hebat dan sesuai. Jadi, kami gembira dapat mempamerkan prestasi seperti ini untuk membuatkan keluarga Ricksen berbangga dengannya.

"Pemain mencurahkan komitmen dan usaha yang tinggi yang menjadi nadi kepada corak permainan Ricksen. Mereka yang terlibat dengan kelab ini berasa sedih dan kami mahu menjulangnya."

Mengenai perlawanan Liga Europa yang seterusnya apabila mereka bakal berkunjung ke Young Boys pada 4 Oktober depan, Gerrard menambah: "Ia satu kemenangan penting tetapi jalan kami masih panjang untuk ditempuhi. Kami menjangkakan cabaran yang lebih sukar.

"Kempen kumpulan ini akan menjadi cabaran yang panjang dan sukar."