Pemain terbaik perlawanan ketika pertemuan Piala Suzuki AFF di antara Malaysia dan Laos, Norshahrul Idlan Talaha, menganggap tindakan pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, mengubah taktikal dalam babak kedua memberikannya ruang untuk meraih dua gol.

Bagi Norshahrul, yang kini sudah mengutip tiga jaringan daripada dua perlawanan Piala AFF, kemasukan Akhyar Rashid dan Shahrel Fikri Md Fauzi dalam babak kedua membolehkannya lebih bebas bergerak di kawasan lawan.

Pemain Pahang itu menjaringkan gol kedua dan ketiga Harimau Malaya pada minit ke-86 dan 90 untuk untuk membolehkan skuad kebangsaan menang 3-1 semalam.

"Walaupun kami bergelut untuk menghasilkan gol, rakan sepasukan tetap memberi sokongan ketika melakukan serangan. Alhamdulillah kami dapat mencapai kemenangan," katanya.

Meskipun kini memegang status penjaring terbanyak negara, Norshahrul mengakui harapan tidak boleh hanya disandarkan kepadanya seorang.

Sebelum aksi berdepan Laos, dia turut menyumbat gol tunggal perlawanan ketika menentang Kemboja dalam pertemuan pertama peringkat kumpulan, 8 November lalu.

"Bagi saya, masih banyak perlawanan. Saya rasa kami harus bekerja lebih keras lagi. Selepas ini, kami akan bertemu Vietnam dan ia bukan calang-calang pasukan. Saya dan rakan sepasukan akan cuba menampilkan permainan terbaik di Vietnam nanti.

"Tidak semestinya saya sahaja yang akan menjaringkan gol dan saya mengharapkan rakan-rakan lain dapat menyumbat jaringan buat Malaysia."