Penyerang muda Kelantan, Nik Akif Syahiran, menganggap tumpuan lebih terhadap Hadi Fayyadh Abdul Razak dan Akhyar Rashid dalam skuad B-19 negara membolehkannya beraksi tanpa tekanan walaupun dia turut mempunyai peranan penting dalam pasukan.

Nik Akif yang beraksi sebagai pemain tengah memainkan peranan penting untuk merencana gerakan ke arah kubu lawan.

Berbanding Hadi dan Akhyar, pemain kelahiran Kuala Krai itu kurang mendapat tumpuan, namun dia tampak lebih selesa dengan situasi berkenaan.

Baginya, apa yang lagi penting, dia dapat memainkan peranan bagi memastikan skuad negara ke pusingan akhir dalam saingan Kelayakan AFC B-19 di Korea Selatan, bermula hujung bulan ini.

"Saya akan buat sehabis baik jika diberi kesempatan. Saya tidak kisah jika kurang diberikan perhatian.

"Kami semakin selesa beraksi bersama Hadi dan Akhyar. Di Korea nanti, insya-Allah kami akan buat yang lebih baik lagi untuk layak ke pusingan akhir," katanya.

Dalam masa sama, Akhyar dilepaskan pengendali, Bojan Hodak, semalam selepas majikannya, Kedah, mahu menggunakan khidmat pemain itu dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia, esok.

Sungguhpun tiada masalah melepaskan Akhyar, Hodak dan pegawai perubatan pasukan akan melakukan proses pemulihan menyeluruh buat pemain itu sebaik dia kembali ke pangkuan pasukan, Ahad nanti.

"Dia terlibat dalam banyak perlawanan kerana mewakili pasukan B-18, B-22 dan Kedah. Kami akan melakukan proses pemulihan ke atasnya dan saya harap dia akan berada dalam keadaan baik sejurus beraksi dalam separuh akhir Piala Malaysia nanti.

"Dia merupakan tonggak penting yang boleh membuat perbezaan kepada pasukan," kata pengendali dari Croatia itu.