NIGERIA 2 ICELAND 0

Iceland terpaksa berputih mata selepas tewas 2-0 kepada Nigeria dalam aksi kedua Kumpulan D, Piala Dunia, sebentar tadi.


Kedua-dua pasukan bertembung buat kali pertama sejak Ogos 1981 -- kali terakhir Iceland merakamkan kemenangan 3-0 dalam perlawanan persahabatan.

Bertemu di Volgograd Arena, kedua-dua pasukan mencari kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan untuk meraih slot ke pusingan seterusnya.

Tiada jaringan berjaya diledak dalam separuh masa pertama -- aksi hambar ini menyaksikan Nigeria muncul pasukan pertama gagal melakukan sebarang percubaan dalam perlawanan Piala Dunia Russia.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang lebih terbuka dan ia telah menghukum Iceland dengan taktikal serangan balas yang diterapkan oleh Nigeria.

Wakil Afrika itu membuka jaringan pada minit ke-49 apabila hantaran silang Victor Moses dikawal kemas oleh Ahmed Musa sebelum menewaskan penjaga gol, Hannes Halldorsson.

Ketinggalan dalam perlawanan memaksa Iceland lebih melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan tetapi ruang yang terbuka sekali lagi digunakan sebaik mungkin oleh Nigeria.

Ahmed Musa sekali lagi bertindak sebagai penjaring gol bagi memastikan kemenangan mutlak buat skuad kendalian Gernot Rohr itu.

Iceland berpeluang untuk mengurangkan defisit jaringan pada penghujung permainan apabila meraih sepakan penalti -- sekali lagi dengan bantuan Video Bantuan Pengadil (VAR) -- tetapi sepakan Gylfi Sigurdsson tinggi melampaui palang.

Untuk rekod, enam kemenangan yang berjaya diraih oleh Nigeria dalam Piala Dunia adalah ke atas lawan dari negara Eropah.