Bekas jurulatih negara, B. Sathianathan, menyuarakan pandangan bahawa Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang sudah menelan belanja jutaan ringgit masih wajar diteruskan, namun menegaskan ia bukan lagi dikemudi oleh Lim Teong Kim.

Program NFDP mencetus polemik susulan kegagalan skuad B-16 negara dalam Kejohanan AFC B-16 2018 di ibu negara.

Skuad negara yang dikendalikan Teong Kim terkandas seawal peringkat kumpulan, sekali gus gagal mencapai sasaran layak ke Piala Dunia B-17 di Peru tahun depan.

"Teong Kim adalah seorang jurulatih hebat dari Jerman dan kami adalah jurulatih yang 'bodoh sombong', itu apa yang dikatakan Teong Kim dua tahun lalu," kata Sathianathan.

"Objektif utama adalah perbaiki pencapaian 2014 (di bawah jurulatih, S. Balachandran) tetapi gagal melakukannya di tempat sendiri. Tekanan beraksi di laman sendiri bukan satu alasan kerana pemain-pemain ini telah berlatih serta menyertai perlawanan di luar negara."

Teong Kim sudah dipecat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai pengendali pasukan itu tetapi masih mempunyai kontrak bersama NFDP sehingga 2020 sebagai pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Sathianathan berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menentukan kedudukan Teong Kim serta membuat keputusan dalam memilih pengendali baru.

"Tiada corak permainan bola sepak Malaysia dalam skuad B-16 ini. Teong Kim telah mempersiapkan pasukan selama empat tahun tetapi bagi saya, kualiti permainan masih lagi jauh ketinggalan.

"Saya telah terlibat dalam skuad belia hampir 15 tahun dan saya tidak nampak sesuatu yang baru," katanya lagi.