Jawatankuasa Pemandu, Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memutuskan perincian masa depan program serta situasi jurulatih berpengaruh, Lim Teong Kim.

Kegagalan skuad B-16 negara yang ditunjangi pemain NFDP dalam Kejohanan AFC, September lalu, ibarat membuka kisah ketirisan program berkenaan.

Susulan siri perbincangan yang membabitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), program itu kesudahannya distruktur semula.

Aspek pengurusan akan diselia MSN sambil FAM menawarkan khidmat sokongan teknikal.

Dalam masa sama, Teong Kim kekal sebagai pengarah Akademi Mokhtar Dahari sehingga kontraknya luput pada Oktober 2019 sementara jurulatih NFDP, Saad Ichalalene, diberi mandat sebagai pengarah projek program tersebut.

Kelangsungan NFDP juga akan disokong dengan suntikan dana tambahan.

"Unit bola sepak NFDP yang sebelum ini bergerak berasingan akan diletakkan kembali di bawah struktur Bahagian Atlet MSN. Sekretariat sedia ada NFDP akan dibubarkan manakala Teong Kim dikekalkan selaku pengarah teknikal AMD serta jurulatih sehingga tamat kontrak pada 31 Oktober 2019.

"Kerajaan Malaysia telah membuktikan bahawa kami komited dalam bola sepak, khususnya peringkat akar umbi. Belanjawan tahun depan bakal menyaksikan dana sebanyak RM15 juta akan digunakan untuk pembangunan NFDP," kata Syed Saddiq.